REMUK...keadaan van JHEAT rosak teruk selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil, Nor Asma. |
KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) daerah Kemaman maut manakala lima lagi rakannya terselamat apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Marang, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga, Marang, Nor Asma Abdullah, 43, yang juga adik Mufti Terengganu, Datuk Dr Alias Abdullah, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang mangsa terselamat, Mohd Nazmy Mohd Zawawi, 26, ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini memberitahu, mereka berenam dalam perjalanan dari pejabat di Kemaman untuk menghadiri kursus bahasa isyarat di ibu pejabat JHEAT di Kompleks Seri Iman, di sini.
“Saya di tempat duduk hadapan bersebelahan pemandu van, Mohd Rozi Bakar, 45, bagaimanapun, setibanya di lokasi kemalangan tiba-tiba van dinaiki hilang kawalan lalu terbabas.
“Saya sempat berpaut pada pemegang di atas pintu van sebelum kenderaan itu terbalik dan merempuh batu penanda kilometer jalan dan sebatang pokok di tepi jalan,” katanya.
Menurutnya, selepas van itu tersadai di sebatang pokok di tepi jalan, dia bergegas mencari telefon bimbit untuk menghubungi individu terdekat memaklumkan kejadian.
Katanya, akibat kemalangan itu, tiga penumpang van tercampak keluar, tetapi mengalami cedera ringan, seorang maut tersepit di bahagian tempat duduk belakang, manakala dia dan pemandu van yang duduk di bahagian hadapan van hanya cedera ringan.
Mohd Nazmy berkata, ketika kejadian hujan renyai di kawasan itu dan permukaan jalan licin mengakibatkan van dinaiki gagal dikawal lalu terbabas.
Kakak ipar mangsa, Toh Puan Razaini Wazairkhan, 44, ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ berkata, pada Khamis ini sepatutnya arwah pulang ke kampungnya di Besut bagi menemui ibunya yang bakal ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.
“Kali terakhir saya bertemu arwah dua minggu lalu selepas dia pulang dari mengerjakan umrah dan saya sekeluarga reda dengan apa yang berlaku kerana ia ketetapan Ilahi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian dan menasihati pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama pada hari hujan.
No comments:
Post a Comment