2012/04/10
Pemberontak diminta beri jaminan bertulis letak senjata sebelum askar kerajaan undurDAMSYIK: Perjanjian damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Syria mungkin musnah selepas pentadbiran Bashar al-Assad membuat tuntutan baru supaya penentang memberi jaminan bertulis meletak senjata sebelum askar kerajaan berundur.
Gesaan itu yang sepatutnya berkuat kuasa esok, segera ditolak pemberontak utama Syria, ketika keganasan meningkat dan semalam saja, hampir 180 orang terkorban.
Perjanjian itu dirundingkan antara PBB dan wakil Liga Arab, Kofi Annan bertujuan menamatkan krisis di negara itu yang sudah mengorbankan 9,000 orang.
Minggu lalu, Annan berkata, Bashar menerima pelan itu dan menggesa tentera berundur dari kawasan bandar.
Bagaimanapun kelmarin, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdessi, mereka memberi satu lagi syarat bahawa penentang bersetuju menulis secara rasmi untuk menghalang semua bentuk keganasan dan sedia meletakkan senjata.
Pemerintah Tentera Syria Merdeka (FSA), Riyadh al-Assad (gambar kanan) berkata, kumpulannya sedia mematuhi perjanjian Annan tetapi menolak tuntutan baru Bashar.
“FSA tidak mengiktiraf pemerintah dan oleh sebab itu kami tidak akan beri jaminan,” katanya ketika dihubungi dari Turki.
Sebaliknya, mereka menuntut kerajaan mengundurkan tentera selain menamatkan pos pemeriksaan polis.
Persetujuan Annan menetapkan pengunduran askar kerajaan daripada kawasan penduduk esok diikuti gencatan senjata penuh pada 6 pagi Selasa.
Namun, sejak beberapa hari lali, tentera Syria meningkatkan serangan mortar dan bedilan ke atas beberapa bandar menyebabkan 100 maut pada hari Sabtu, katanya.
Sementara itu, askar Syria melepaskan tembakan ke arah kem pelarian di sempadannya dengan Turki, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang cedera.
Aktivis berkata dua orang terbunuh, tetapi maklumat itu tidak dapat disahkan.
Askar terbabit dipercayai cuba menembak kumpulan pemberontak yang melarikan diri ke kem pelarian selepas menyerang sebuah pusat pemeriksaan tentera.
Turki kini menempatkan beribu-ribu pelarian melarikan diri dari Syria ketika pasukan kerajaan cuba menghapuskan tentangan pemberontak ke atas pemerintahan Presiden Assad. – AFP/Agensi
No comments:
Post a Comment