Pages

Thursday, March 29, 2012

Assad diheret ke ICC

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 28 Mac - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memiliki bukti kukuh untuk mengheret rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay berkata, Assad memikul tanggungjawab utama terhadap segala pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di negara itu.
Beliau juga mendakwa, pihak berkuasa Syria kini secara sistematik menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran dalam kempen mereka untuk menghancurkan penentang rejim.
"Dari segi fakta, terdapat cukup bukti yang menunjukkan banyak tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan mendapat kelulusan atau persetujuan pada peringkat tertinggi.
"Saya merasakan siasatan dan pendakwaan adalah elemen penting untuk mencegah dan menghentikan pencabulan tersebut," kata Pillay dalam wawancara dengan stesenPerbadanan Penyiaran British (BBC), hari ini.
Katanya, Assad bertanggungjawab kerana beliau hanya perlu mengeluarkan arahan supaya pembunuhan dihentikan dan pembunuhan itu akan dihentikan.
Katanya, tidak ada undang-undang yang membataskan tempoh untuk mengemukakan pendakwaan, kerana itu walaupun orang seperti Assad boleh melakukan pencabulan bagi tempoh yang sangat lama, tetapi suatu hari nanti mereka akan dibawa ke muka pengadilan.
Sementara itu di Istanbul, para pemimpin pemberontak Syria tetap sangsi dengan pelan damai dan gencatan senjata yang dirangka oleh utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan sekalipun rancangan itu telah dipersetujui oleh Damsyik.
Penentang rejim Assad itu, yang mencapai persetujuan untuk kembali bersatu di naungan Majlis Kebangsaan Syria (SNC) menyifatkan pelan tersebut sebagai tidak bererti jika ia tidak membawa kepada penyingkiran Assad.
Kerajaan Syria semalam berkata, Damsyik telah menerima pelan damai Annan, tetapi persetujuan itu diragui oleh sesetengah anggota SNC.
"Dia hanya mahu berlengah-lengah dan ini bermakna lebih banyak pembunuhan, kerana dalam setiap jam lima penduduk terbunuh, jadi masa itu nyawa," kata seorang anggota kanan SNC, Adib Shishakly.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi berkata, Damsyik akan menolak sebarang usaha Liga Arab untuk menamatkan krisis di negara ini. - dpa/AFP

'via Blog this'

No comments: