BEHRANG: “Saya tergamam melihat lori datang dari depan dan merempuh lori dipandu Abdul Ghafar sebelum menghentam lori Abu Bakar,” kata Mohd Basit Maahasan, 38, yang terselamat dalam nahas mengorbankan tiga orang manakala dua lagi cedera dalam kejadian membabitkan tiga lori dan sebuah Perodua Viva kira-kira 100 meter dari Politeknik Sultan Azlan Shah di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.45 pagi itu, rakannya, Abu Bakar Salleh, 51, yang memandu lori dari arah Tanjung Malim maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada selepas lori dipandunya dirempuh lori dari arah Pulau Pinang dipandu Koh Kay Hung, 34.
Koh dan kelindannya yang hanya dikenali sebagai Kah Sing, 30-an, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River (HSR) manakala pemandu Perodua Viva dan Abdul Ghafar Ghazali, 53, hanya cedera ringan.
Menurut Mohd Basit, selepas merempuh lori Abdul Ghafar, lori Koh melanggar lori Abu Bakar menyebabkannya maut.
Mohd Basit berkata, dia, Abdul Ghafar dan Abu Bakar dalam perjalanan menghantar tiga lori secara berkonvoi dari Kuantan ke pusat pameran jualan kenderaan Isuzu di Ipoh sebelum kemalangan berlaku di kilometer 114, Jalan Persekutuan Behrang-Tanjung Malim.
Menurutnya, lori Koh terbabas memasuki laluan mereka sebelum merempuh dua lori dipandu rakannya.
“Tragedi ini berlaku sekelip mata dan Abdul Ghafar serta Abu Bakar tidak sempat mengelak. Kami sebelum itu berhenti minum di sebuah gerai di Lebuhraya Karak sebelum menyambung perjalanan ke Ipoh.
“Ketika itu, Abu Bakar yang biasanya periang, kelihatan pendiam sejak kelmarin. Saya tidak sangka itu petanda dia akan menemui ajal. Dia biasanya banyak cakap, tetapi ketika mereka berhenti rehat, hanya berbaring dalam lori,” katanya.
Sejurus kemalangan, katanya, dia nampak Abu Bakar tersepit antara dua lori.
“Hampir setengah jam Abu Bakar menahan kesakitan sambil merintih sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Pihak bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mayat Abu Bakar. Malah, lori tunda terpaksa digunakan untuk menarik dan memisahkan dua lori itu yang melekat sebelum Abu Bakar dapat dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Adik Koh yang dikenali sebagai Lawrence, 34, berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya itu di Puchong, Selangor, kelmarin sebelum mangsa bertolak ke Pulang Pinang untuk membeli lori baru.
Menurutnya, Koh ke Pulau Pinang menaiki sebuah kereta sebelum pulang ke ibu kota dengan memandu lori yang baru dibelinya.
“Dia sempat meminjam wang daripada saya untuk beli lori baru. Dia memang rajin dan periang walaupun menghadapi masalah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Slim River, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu Koh gagal dikawal ketika melalui kawasan selekoh lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori Abdul Ghafar.
Menurutnya, lori itu kemudian terbabas dan merempuh lori Abu Bakar yang berada di belakang lori Abdul Ghafar.
“Pada masa sama, kereta Perodua Viva yang berada di belakang lori Abu Bakar gagal membrek lalu merempuh belakang lori berkenaan. Lori Mohd Basit yang berada di belakang Perodua Viva itu sempat berhenti,” katanya.
Menurutnya, lori Abdul Ghafar terbabas kira-kira 10 meter manakala Perodua Viva itu remuk di bahagian depan dan pemandunya hanya cedera ringan dan dirawat di HSR.
Othman berkata, pertembungan dua lori menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan berharap pengguna jalan raya yang melalui jalan itu berhati-hati, terutama pada waktu malam dan hujan kerana kelalaian ketika melalui selekoh tajam itu boleh mengundang kemalangan,” katanya.
Jenazah Abu Bakar dituntut keluarganya kira-kira jam 2.30 petang semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Pancing Utara di Pahang manakala mayat Koh dan dan Kah Sing dibawa ke Kuala Lumpur oleh ahli keluarganya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment