Pages

Monday, February 20, 2012

Tentera Syria tembak penunjuk perasaan anti kerajaan di Damsyik

AMMAN 19 Feb. - Seorang penduduk awam terbunuh manakala empat lagi cedera selepas pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan di Damsyik, semalam.
Serangan tersebut berlaku selepas Timbalan Menteri Luar China, Zhai Jun mengemukakan rayuan agar pergolakan yang berlaku selama 11 bulan di negara itu dihentikan ketika mengadakan lawatan ke Syria.
Pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ketika kira-kira 30,000 penunjuk perasaan menyertai upacara pengebumian tiga penduduk awam yang ditembak mati sehari sebelumnya.
"Pasukan keselamatan Syria mula melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas upacara pengebumian selesai," kata seorang saksi kepada Reuters.
Kumpulan aktivis pembangkang, Jawatankuasa Penyelaras Tempatan berkata, pasukan keselamatan menembak mati 14 penduduk awam di Damsyik dan di beberapa kawasan lain di Syria termasuk lima di bandar Homs.
Rakaman upacara pengebumian yang disiarkan menerusi Internet itu menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan slogan berbunyi 'Kami korbankan darah, jiwa kepada semua yang mati syahid. Rakyat Syria bersatu padu'.
Zhai Jun dalam pada itu mengemukakan rayuan agar keganasan di Syria dihentikan termasuk dalam pentadbiran dan ketenteraan.
"China menyokong reformasi yang dilakukan di Syria termasuk langkah-langkah mengatasi pergolakan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Assad.
Beijing dan Moscow merupakan penyokong kuat Assad ketika Syria berdepan dengan krisis politiknya manakala Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Eropah, Turki dan Liga Arab mengutuk pergolakan yang berlaku dan menggesa agar pemimpin itu berundur dari jawatannya. - REUTERS

No comments: