Pages

Monday, February 20, 2012

Pesawat jet simbol prestij jutawan Asia


Jet eksekutif Legacy 650 milik Jackie Chan dihias dengan lakaran unik yang diilhamkan daripada seekor naga dalam mitos Cina. Ia diterbangkan dari Brazil sempena Pameran Udara Singapura yang berakhir semalam. - AFP


SINGAPURA 19 Feb. - Bagi golongan terkaya di Asia memiliki sebuah jet peribadi kini menjadi simbol status paling berprestij kerana rumah agam, limousin dan kapal layar tidak lagi memadai untuk mereka menunjuk-nunjukkan kekayaan.
Pengeluar jet eksekutif yang ingin menarik pembeli dari kalangan bilionair dan jutawan yang semakin ramai di Asia memperagakan segala produk mereka pada Pameran Udara Singapura yang berakhir hari ini.
Syarikat Embraer dari Brazil menerbangkan jet peribadi Jackie Chan ke Singapura untuk pameran tersebut.
Jet Legacy 650 milik bintang filem Hong Kong itu memaparkan lakaran unik dalam warna putih, merah dan kuning yang diilhamkan daripada seekor naga dalam mitos Cina.
Chan dilantik pada bulan ini sebagai duta jenama pertama bagi Embraer.
Pesawat Chan yang dilengkapi 13 tempat duduk dan berharga AS$31.5 juta (RM98 juta) itu adalah antara beberapa pesawat eksekutif yang dipamerkan oleh pelbagai syarikat termasuk Bombardier dari Kanada dan Gulfstream Aerospace Corp. dari Amerika Syarikat (AS).
"Seperti yang kita semua ketahui, rantau Asia Pasifik ialah pasaran yang berkembang dengan sangat pesat," kata Presiden Embraer, Ernest Edwards pada pameran udara itu.
Asia kini mempunyai bilangan jutawan kedua terbanyak selepas AS, dengan pertambahan mereka di China dan India pada kadar yang menakjubkan, menurut kajian oleh Merrill Lynch Global Wealth Management dan Capgemini.
Pengeluar jet memberi fokus terhadap individu dan keluarga yang memiliki aset boleh labur sekurang-kurangnya AS$30 juta (RM93 juta), iaitu golongan yang dikategorikan sebagai memiliki 'nilai aset bersih sangat tinggi'.
Bilangan mereka di Asia meningkat kepada 23,000 orang pada 2010, menurut laporan itu, manakala majalah perniagaan AS, Forbes menganggarkan China sahaja mempunyai hampir 150 bilionair. - AFP

No comments: