Pages

Thursday, February 9, 2012

Bilionair lancar dana untuk tumbangkan Obama


WASHINGTON 8 Feb. - Penyokong Parti Republikan yang diketuai oleh dua beradik bilionair minyak berikrar untuk menyingkirkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dari White House dengan melancarkan dana kempen sebanyak AS$100 juta (RM310 juta).

David dan Charles Koch, yang memiliki kekayaan berjumlah AS$50 bilion (RM155 bilion), bersama-sama 300 tokoh perniagaan paling kaya di AS menjanjikan sumbangan wang tunai bagi menghalang Obama daripada dipilih semula pada pilihan raya Presiden AS November ini.

Mereka menjanjikan sumbangan tersebut pada perhimpunan tiga hari anjuran dua beradik berhaluan konservatif itu di California baru-baru ini.

Perhimpunan kali ini dipercayai kali pertama difokuskan kepada satu isu dan sumber berkata, mentaliti 'tidak mahu mengalah' untuk menewaskan Obama dengan apa cara sekali pun pada pilihan raya tahun ini segera menguasai hadirin.

Charles, 76, akan menyumbangkan AS$40 juta (RM124 juta) daripada kekayaannya sendiri untuk dana itu, manakala David, 71, menjanjikan AS$20 juta (RM62 juta) bagi membiayai kempen itu.

Oleh sebab orang perseorangan hanya boleh mendermakan maksimum AS$2,500 (RM7,750) kepada seseorang calon, dana AS$100 juta (RM310 juta) hampir pasti disalurkan kepada sebuah jawatankuasa tindakan politik (PAC) Parti Republikan.

Walaupun PAC sepatutnya berpendirian berkecuali, jawatankuasa itu selalunya memihak kepada seorang calon tertentu dan kemudian menggunakan wang derma untuk menyokong calon berkenaan.

PAC Americans for Prosperity tajaan Koch adik-beradik itu sudah pun membelanjakan wang sebanyak AS$6.8 juta (RM21 juta) untuk membiayai iklan yang menghentam Obama.

Mereka berdua telah mengambil pendekatan sangat berahsia dalam menghimpunkan kekayaan mereka, tetapi mula mendapat publisiti meluas apabila mereka membantu melancarkan gerakan Tea Party yang ultrakonservatif.

Charles dan David berada di tangga 18 dan 19 dalam senarai 100 orang terkaya menurut majalah Forbes dan mereka telah menyumbangkan lebih AS$100 juta (RM310 juta) bagi membiayai perjuangan puak berhaluan kanan. - AGENSI

No comments: