Pages

Thursday, February 9, 2012

CIA kekal di Iraq, Afghanistan


WASHINGTON 8 Feb. - Agensi Perisikan Pusat (CIA) akan terus memainkan peranan besar secara sulit di Iraq dan Afghanistan selepas askar konvensional Amerika Syarikat (AS) berundur dari kedua-dua negara itu.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk bergantung kepada pengintip dan pasukan tentera Operasi Khas bagi melindungi kepentingan AS di dua zon perang tersebut, kata pegawai AS, semalam.

Kata mereka, stesen CIA di Kabul dan Baghdad akan terus menjadi pos terbesar agensi itu di luar negara selama beberapa tahun lagi, meskipun bilangan kakitangannya tidak sebanyak dahulu ketika usaha AS untuk menumpaskan pemberontak dan menubuhkan kerajaan berwibawa mencapai kemuncak di kedua-dua negara itu.

Pengunduran tentera AS dari Iraq pada Disember ini bermakna penekanan CIA di negara itu beralih kepada kegiatan pengintipan lebih tradisional iaitu memantau perkembangan dalam kerajaan Baghdad yang semakin berpecah-belah, berusaha untuk membendung aktiviti sekutu al-Qaeda dan menangkis pengaruh Iran.

Di Afghanistan, CIA dijangka memainkan peranan operasi yang lebih agresif.

Pegawai AS berkata, keupayaan separa tentera CIA dilihat sebagai alat untuk menggoyahkan kedudukan Taliban, melindungi kerajaan di Kabul dan memastikan lapangan terbang di Afghanistan dapat terus digunakan oleh pesawat tanpa juruterbang (drone) CIA untuk memburu saki-baki anggota al-Qaeda di Pakistan.

Sewaktu Obama berusaha untuk menamatkan konflik besar-besaran selama sedekad, tugas baru CIA itu membayangkan agensi tersebut akan memainkan peranan penting dalam usaha pentadbiran beliau untuk menggunakan kuasa AS dengan lebih tersusun dan lebih fokus.

Ekoran strategi tersebut, stesen CIA di Kabul, yang suatu masa dahulu mempunyai 1,000 kakitangan, dijangka meluaskan kerjasama dengan tentera Operasi Khas apabila pengunduran askar konvensional bermula.

Komander Operasi Khas yang mengarahkan serangan untuk membunuh Osama bin Laden pada tahun lepas, Laksamana William McRaven membayangkan peralihan itu dalam kenyataannya di Washington, semalam.

"Saya tidak ragu-ragu askar Operasi Khas adalah pasukan terakhir yang akan meninggalkan Afghanistan," kata McRaven. - AGENSI

No comments: