Barack Obama

NEW YORK – Seramai 18 bayi pramatang dilaporkan antara berpuluh-puluh orang awam maut dalam pertempuran di bandar Homs, Syria yang dikuasai pihak pemberontak, semalam.

Jurucakap Jabatan Amerika Syarikat (AS), Victoria Nuland berkata, AS tidak pernah memutuskan bahawa senjata adalah penyelesaian kepada konflik yang melanda Syria.

Menurut Nuland, AS juga tidak akan membekalkan senjata kepada pemberontak di Syria walaupun itu akan menjadi pilihan terakhir kepada Presidennya, Barack Obama yang kini bergelut mencari jalan menyekat keganasan dan menamatkan pertumpahan darah.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih berkata, Jay Carney berkata, AS telah mengadakan perbincangan baru-baru ini bagi memberi tumpuan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria walaupun beliau tidak menyatakan dengan jelas bentuk bantuan yang akan diberikan.

“Kajian awal terhadap persediaan tentera AS kini sudah berada dalam tangan,” katanya yang dipetik dari laporan Mail Online, hari ini.

Sementara itu, seorang pegawai kanan AS memberitahu CNN, Pentagon kini memantau perkembangan di Syria tetapi masih tiada arahan dikeluarkan untuk mengadakan sokongan tentera untuk Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, lebih 5,400 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad bermula pada Mac 2011.
Selasa lalu, beberapa ahli parlimen kongres, termasuk Senator John McCain dipanggil untuk menyuarakan pandangan dari pihak pembangkang mengenai isu membekalkan senjata ke Syria.