10 September 2012
BAB AL-SALAMEH - Fatima Abdallah, 29, selamat melahirkan bayi kembar tidak seiras di sebuah hospital di Turki, selepas berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi korban pertempuran di Syria kira-kira dua minggu lalu.
Bagaimanapun, kegembiraan wanita tersebut hanya dapat dinikmati sementara berikutan larangan dikenakan Turki yang menyekat kemasukan pelarian Syria ke negara itu.
Dia kini terpaksa bersesak tinggal di dalam bangsal konkrit bersama kira-kira 5,000 pelarian yang menanti dengan penuh sabar untuk menyeberangi sempadan Bab Al-Salameh ke Turki.
Mereka juga berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan dan keadaan tempat yang kotor serta tidak sempurna.
Seorang doktor yang dikenali sebagai Necmi menyatakan, kebanyakan kanak-kanak yang mendapatkan perlindungan di bangsal tersebut mudah diserang penyakit dan jangkitan kulit.
"Walaupun mereka berjaya melarikan diri ke sempadan, kumpulan pelarian itu masih berhadapan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih dan keperluan asas lain," katanya.
Difahamkan, ribuan pelarian Syria kini terkandas susulan daripada keputusan Ankara pada dua minggu lalu yang melarang kemasukan mereka sehingga kerajaan selesai membina dan menyiapkan kem tambahan.
No comments:
Post a Comment