Disebat angkara cinta terlarang
Remaja berkenaan disebat di khalayak ramai selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit.
GHAZNI - Seorang remaja Afghanistan disebat di khalayak umum, manakala kekasihnya didenda AS$1,600 (RM4,824)  selepas didakwa menjalin hubungan sulit.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita Wilayah, Shukuria Wali berkata, remaja dikenali sebagai Sabera, 16, kini di bawah jagaan Jabatan Hal Ehwal Wanita, manakala teman lelakinya ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, remaja itu kini menghadapi gangguan mental dan fizikal sejak disebat pada 9 September lalu di Jaguri.

“Sabera diselubungi dengan kain putih kemudian disebat lalu disaksikan penduduk kampung dan ahli keluarga,” katanya.

Afghanistan merupakan sebuah negara konservatif Islam, di mana wanita belum berkahwin dilarang menjalinkan hubungan dengan lelaki luar serta pergerakan mereka terbatas.

Hukuman di khalayak umum atau sebatan kepada penzina adalah hukuman biasa yang dilaksanakan di bawah pemerintahan rejim Taliban 1996 hingga 2001.-AFP