Pages

Monday, September 17, 2012

4 tentera Nato ditembak mati

KABUL: Empat tentera Nato semalam terbunuh dalam serangan kedua yang disyaki dilakukan oleh polis Afghanistan dalam masa dua hari.

Pihak berkuasa Afghanistan berkata, serangan terbaru berlaku di Zabul.

Kumpulan Taliban yang sejak 10 tahun lalu memberi tentangan sengit terhadap kehadian tentera asing di wilayah berkenaan berkata, mereka tidak terbabit dalam serangan berkenaan.

Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai Amerika Syarikat tidak mendedahkan butir lanjut mengenainya kecuali berkata, ia mengesyaki pembabitan anggota polis Afghanistan.

Timbalan Ketua Polis Zabul, Ghulam Jilani berkata, sebuah pos polis di daerah Mizana diserang tetapi apabila tentera Nato datang untuk membantu, seorang anggota polis menembak mereka.

Seorang pegawai kanan kerajaan tempatan mengesahkan pasukan Nato membalas tembakan itu, membunuh seorang anggota polis.

“Tiga hingga empat anggota polis menghilangkan diri. Buat masa ini, kami tidak tahu di mana mereka. Kami tidak pasti sama ada mereka melarikan diri kerana bimbang ditangkap atau sama ada mereka mempunyai hubungan dengan Taliban,” kata pegawai berkenaan.

Jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi berkata, mereka yang bertanggungjawab bukan anggota Taliban.

“Mereka hanya rakyat Afghanistan yang melakukannya kerana kebaikan,” katanya. - Reuters

No comments: