Pages

Sunday, September 30, 2012

Pertempuran semakin sengit





ALEPPO 29 Sept. - Pertempuran bertambah sengit di kawasan strategik ibu negara komersial, Aleppo pada hari ketiga hari ini, dalam cubaan habis-habisan pemberontak untuk menawan bandar itu, menurut pemantau.
Tumpuan utama serangan adalah Salaheddin, iaitu kubu kuat pemberontak di barat daya Aleppo di mana mereka bertindak menyerang kem tentera, kata Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi.
Di kawasan lain, pasukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad melepaskan tembakan di kawasan selatan wilayah Daraa sehingga berlaku pertempuran, juga di kawasan Deir Ezzor di timur dan Aleppo sendiri.
Sekurang-kurangnya enam askar terbunuh di Daraa, sementara empat orang awam menjadi korban dan dua pemberontak terbunuh di Deir Ezzor.
Di Maskana, seorang bayi meninggal dunia, manakala ibu dan abangnya cedera akibat ditembak.
Semalam, penduduk kawasan kejiranan Aleppo menggambarkan pertempuran yang berlaku di situ, sebagai paling dahsyat sepanjang tempoh dua bulan dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Di seluruh Syria, sekurang-kurangnya 117 terbunuh semalam, dengan 71 daripadanya adalah orang awam, menurut pertubuhan itu lagi.
Sementara itu di New York, Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton mendedahkan jumlah dana baru bernilai AS$45 juta (RM135 juta) diperlukan bagi bantuan kemanusiaan serta membantu penduduk awam yang menentang kerajaan. - AFP

No comments: