Pages

Friday, September 28, 2012

Lebih 300 terbunuh di Syria

BEIRUT 27 Sept. - Lebih 305 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan di seluruh Syria semalam, sekali gus mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam tempoh sehari, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi.
Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, jumlah tersebut mungkin meningkat jika mayat yang tidak dikenal pasti dimasukkan dalam senarai penduduk yang terkorban.
“Sebanyak 199 daripada 305 mayat tersebut merupakan penduduk awam," katanya.
Di timur bandar Deir Ezzor, sebanyak 23 orang termasuk seorang kanak-kanak dan wanita terbunuh ketika tentera menggempur daerah Jura.
Selain itu, seramai 17 orang termasuk lapan wanita dan tiga kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Damsyik dalam dua insiden letupan di ibu pejabat tentera.
Di luar ibu negara Syria, 40 mayat termasuk wanita dan kanak-kanak turut ditemukan di perkampungan Diabeya.
Jumlah korban tertinggi sebelum ini dicatat pada 19 Julai lalu dengan 302 kematian.
Setakat ini, lebih 30,000 orang maut dalam pemberontakan menentang pentadbiran Presiden Bashar al-Assad sejak Mac 2011. - AFP

No comments: