Pages

Sunday, September 30, 2012

Israel kian terdesak sekat nuklear Iran

Baitulmaqdis: Sebahagian penduduk Israel tidak faham mengapa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyebelahi calon Presiden Republikan, Mitt Romney semata-mata kerana percaya Romney akan lebih tegas terhadap Iran jika menang.

Menjadi pantang larang kepada pemimpin Israel cuba mempengaruhi kempen pilihan raya Amerika Syarikat, sekutu kuat rejim Zionis itu. Dengan Presiden Barack Obama cuma sedikit mendahului dalam tinjauan pendapat, strategi Netanyahu kelihatan berisiko kepada penduduk Israel yang bimbang hubungan baik dengan Amerika akan bermasalah jika Obama menang.
Jika Perdana Menteri kita tidak sependapat dengan pemimpin mereka, ia akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Amerika adalah sekutu kuat Israel dan memang bagus mempunyai kawan yang kuat di belakang anda, kata kerani syarikat sewa kereta di Baitulmaqdis, Shai Hugi, 20.

Netanyahu yang yakin Iran semakin hampir membangunkan senjata nuklear, berkata, Tehran perlu disekat.

Serius guna kekerasan
Mendakwa usaha diplomatik antarabangsa dan sekatan ekonomi gagal, Netanyahu berkata, ancaman kekerasan perlu dipertimbangkan secara serius.

Beliau menggesa Obama mengisytiharkan garisan merah yang akan mencetuskan serangan Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran, bergandingan dengan ancaman serangan Israel terhadap republik Islam itu.

Obama menolak semua desakan itu dan berkata, usaha diplomasi serta sekatan diketuai Amerika mesti diberi lebih masa, manakala Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear.

Pada masa sama, pegawai Amerika menekan Israel supaya tidak melancarkan serangan sehala, tindakan yang boleh mencetuskan keganasan di rantau itu menjelang pilihan raya presiden November ini.

Netanyahu bagaimanapun tidak berganjak daripada pendiriannya. Dalam mesej kepada Rumah Putih, baru-baru ini, beliau berkata: Masyarakat antarabangsa yang enggan meletakkan garisan merah kepada Iran tidak mempunyai hak moral untuk memberi lampu merah pada Israel.

Pemimpin Israel bergantung kepada sokongan Amerika selama berdekad lamanya tetapi hubungan Netanyahu dengan Obama agak goyah, berikutan perbezaan pendapat berhubung Iran.

Israel sokong Republikan

Perjanjian itu disertai dengan persahabatan sekian lama dengan Romney, mencipta persepsi pemimpin Israel itu menyokong Republikan.

Sama ada ia benar atau tidak beliau menyebelahi mana-mana pihak, saya tidak tahu. Namun, corak tindakannya menunjukkan persepsi itu berasas, kata bekas diplomat Israel di New York, Alon Pinkas.

Pakar hubungan Amerika dan Israel di Universiti Bar-Ilan, Eytan Gilbao, berkata Obama jika terpilih semula mungkin bertindak balas terhadap penduduk Israel dengan menekan Netanyahu membuat tolak ansur baru kepada pemimpin Palestin bagi mengatasi kebuntuan yang dilihat sebagai kegagalan utama pentadbiran Amerika.

Pada temu bual dalam televisyen Amerika minggu ini, pemimpin Israel itu menafikan campur tangannya dalam kempen pemilihan semula Obama dan berkata beliau menghargai kepentingan sokongan Washington.
AP

No comments: