Wajah Omar Khadr semasa remaja (kiri) dan sekarang. |
Omar, 26, yang juga tahanan terakhir dari Kanada akan dipindahkan ke kem tahanan tentera di Trenton, Ontario sebelum dipindahkan ke Millhaven, penjara yang mempunyai kawalan keselamatan yang sangat ketat.
Tribunal Jenayah Tentera AS pada 2010 menjatuhkan hukuman 40 tahun penjara ke atas Omar berhubung kesalahan berkonspirasi dengan al-Qaeda untuk membunuh tentera negara itu.
Pusat tahanan penuh kontroversi itu merupakan tempat soal siasat tentera yang terletak pangkalan tentera laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba.
Menteri Keselamatan Awam Kanada, Vic Toews berkata, Omar ditangkap pada 2002 semasa perang di Afghanistan dan ketika itu baru berusia 15 tahun.
“Kes Omar pernah menjadi kontroversi berikutan pertikaian umurnya dan disebabkan kelemahan pendakwaan inilah yang menyebabkan tempoh tahanan dipendekkan.
"Saya berpuas hati dengan Perkhidmatan Pembetulan Kanada yang menangani hukuman Omar dan mengakui jenayah yang dilakukannya adalah serius dalam memastikan keselamatan warga Kanada dilindungi semasa dipenjarakan," kata Toews.
Omar didapati bersalah termasuk membunuh pegawai perubatan tentera AS, Christopher Speer dengan bom pada 2002, bersubahat dengan al-Qaeda untuk melakukan perbuatan pengganas, membuat bom tepi jalan yang menyasarkan tentera AS di Afghanistan, mengintip konvoi tentera Amerika dan menyediakan kelengkapan untuk pengganas.
Omar yang kini berusia 26 tahun merupakan orang pertama selepas Perang Dunia Kedua dibicarakan di tribunal itu dan dijatuhi hukuman ketika masih bawah umur dan merupakan tahanan termuda di Guantanamo.
Anak kelahiran Kanada itu telah dibawa ke Afghanistan oleh bapanya, seorang ahli al-Qaeda senior yang melatih sekumpulan remaja membuat bom dan menembak tentera AS jika memasuki kawasan mereka.
Ketika ditahan, mata sebelahnya telah buta dan belakang badannya terkena dua das tembakan.
"Dia sukar mempercayai bahawa perkara ini benar-benar berlaku.
"Semangatnya kuat dan benar-benar gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga," kata John Norris, salah seorang peguam Omar, lapor Canadian Press.
No comments:
Post a Comment