Pages

Tuesday, June 19, 2012

Syria sambung serang Homs

Imej dikeluarkan rangkaian berita pembangkang Syria, Shaam News Network merakamkan kemusnahan di kawasan penempatan penduduk Juret al-Shayyah di tengah bandar Homs akibat serangan tentera Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 18 Jun - Tentera Syria, hari ini melancarkan semula serangan ke atas Homs selepas mengepung bandar tersebut semalam, sementara empat orang termasuk seorang komander pemberontak terbunuh di bandar Deir Ezzor.
Agensi Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, serangan dilancarkan semula di bandar Homs dengan bunyi letupan boleh didengari dari kawasan perumahan Khaldiyeh.
Ia berkata, serangan terbaru itu berlaku selepas 67 orang maut di seluruh Syria termasuk 15 orang di Homs, semalam.
‘‘Empat orang termasuk seorang komander pemberontak maut dalam satu letupan di bandar Mohassan di wilayah Deir Ezzor,’’ katanya.
Komander tentera Norway, Jeneral Robert Mood yang mengetuai pasukan Misi Penyeliaan PBB di Syria (UNSMIS) menggesa pihak-pihak bertelagah membenarkan wanita, kanak-kanak, warga tua dan mereka yang cedera dipindahkan dari kawasan pertempuran.
Mood dalam satu kenyataan berkata, usaha untuk memindahkan orang awam dari Homs tidak berjaya dilakukan selepas bandar itu dikepung.
Menurut Agensi Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, lebih 1,000 orang kini terperangkap di Homs.
Dalam pada itu, pihak pembangkang Majlis Nasional Syria meminta bantuan untuk membantu menyelamatkan Homs dan bandar lain daripada serangan tentera Presiden, Bashar al-Assad.
Parti itu turut mengulangi gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan dalam konflik tersebut. - AFP/Agensi

No comments: