SITTWE 18 Jun - Pemimpin-pemimpin agama di Myanmar meminta semua pihak yang terlibat dalam konflik keganasan di negeri Rakhine menunjukkan perasaan simpati dan ketelusan, selain berusaha menangani isu-isu yang menjadi punca kepada keganasan di negeri ini.
Seorang guru agama di sebuah masjid di Jalan ke-59 di sini, U Sann Aung berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk menghalang sebarang bentuk keganasan agama dan kaum.
‘‘Saya percaya ia bukan sahaja tanggungjawab pemimpin agama tetapi semua pihak perlu turut serta dalam usaha mencapai keamanan. Kita sering bercakap mengenai perdamaian tetapi orang ramai juga perlu melaksanakannya dengan tindakan.
‘‘Masalahnya adalah perasaan. Orang ramai tidak dapat mengawal kemarahan mereka dan mereka lupa untuk mencari keadaan sebenar dalam sesuatu situasi itu. Sebagai contoh, mereka melihat sebuah rumah terbakar dan tindakan pertama mereka adalah membalas dengan keganasan.
‘‘Walaupun ada beberapa pemimpin agama memperkatakan mengenai keamanan dan perlunya seseorang bertenang tetapi mereka juga tidak dapat mengawal perasaan dan kemarahan sendiri. Musuh mereka adalah kemarahan mereka sendiri yang menimbulkan pemikiran untuk memusnahkan sesuatu,’’ katanya kepada akhbar The Myanmar Times, kelmarin.
Sann Aung berkata, media memainkan peranan penting sama ada positif atau negatif bergantung kepada bagaimana wartawan dan pengarang itu menyampaikan isu tersebut.
‘‘Media baru termasuk media pemerintah perlu mencari suara sebenar mereka yang mahukan keamanan dan cuba memperbaiki situasi dengan menyampaikan berita yang seimbang supaya pembaca dapat menilai situasi dengan tepat,’’ ujarnya.
Beliau percaya laporan tidak seimbang oleh media pemerintah pada awal konflik itu telah memburukkan situasi.
Seorang pemimpin agama Buddha, Kumara Biwontha berkata, semua orang mempunyai hak untuk menganut agama masing-masing dan perlu menunjukkan simpati antara satu sama lain selain mengelak melakukan keganasan.
‘‘Jika kita boleh menilai masalah ini dengan bijaksana, perdamaian dan kesejahteraan akan dapat dicapai,’’ katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media pemerintah. - AGENSI
No comments:
Post a Comment