Pages

Tuesday, June 19, 2012

Mohammed Mursi menang

KAHERAH: Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan calon mereka, Mohammed Mursi Isa al-Ayyat, memenangi pilihan raya presiden di Mesir, awal pagi semalam.
Ia adalah kemenangan jawatan ketua negara pertama gerakan Islam itu di rantau Timur Tengah yang dilanda protes besar-besaran menuntut demokrasi sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, tentera melengkapkan diri mereka dengan kuasa lebih besar daripada presiden, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlaku konfrontasi.
Dengan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan undang-undang tentera, pegawai kanan tentera dan perlembagaan sementara menyediakan mereka kuasa bagi memastikan penguasaan ke atas Mesir, selain membelakangkan presiden.

Jeneral tentera akan menjadi ahli Parlimen, menguasai belanjawan dan memutuskan siapa yang bakal menggubal perlembagaan rasmi yang bakal menentukan masa depan Mesir.

Kelmarin, Ikhwanul Muslimin mengumumkan enggan mengiktiraf pembubaran parlimen yang sebelum ini dikuasai mereka.
Pertubuhan berkenaan juga menolak hak tentera mengemukakan perlembagaan sementara dan menyelia penggubalan perlembagaan baru.

Keputusan rasmi dijangka tidak akan dikeluarkan sehingga Khamis ini.
Dalam ucapan kemenangannya, Mohammed Mursi, 60, meredakan ketakutan warga Mesir yang bimbang pelaksanaan hukum Islam yang ketat di negara itu.

Sebaliknya, beliau berjanji untuk mewujudkan kestabilan, kasih sayang dan persaudaraan di kalangan orang awam Mesir bagi membangunkan “negara moden yang demokratik dan berperlembagaan.” “Syukur kepada Tuhan yang memimpin kita dalam revolusi ini, juga membimbing warga Mesir kepada jalan yang benar, jalan kebebasan dan demokrasi.

“Kita bukan mahu membalas dendam. Kita semua bersaudara yang mempunyai hak dan tugas sama,” katanya. - AP

No comments: