Pages

Tuesday, June 19, 2012

Calon Ikhwan dipilih Presiden Mesir

KAHERAH 18 Jun - Ikhwan Muslimin hari ini mengisytiharkan calonnya, Mohammed Mursi memenangi pusingan kedua pilihan raya Presiden Mesir.
Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam akaun Twitter rasminya berkata, dengan kemenangan itu Mursi memenangi pilihan raya Presiden Mesir setelah menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dalam pilihan raya itu yang diadakan pada minggu lalu.
Pengumuman itu dibuat selepas 97 peratus undi daripada 13,000 pusat pengundian dikira.
Pegawai Ikhwan Muslimin turut mengesahkannya pada satu sidang media hari ini dengan menyatakan Mursi telah memperolehi 52 peratus undi, sekali gus menewaskan Shafiq.
Mursi pada pukul 4 pagi tadi (9 pagi waktu Malaysia) turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Mesir yang mengundinya dan berjanji akan bekerjasama dengan semua rakyat untuk membawa masa depan, kebebasan, demokrasi, pembangunan dan keamanan yang lebih baik untuk Mesir.
Berita kemenangan itu, bagaimanapun dibayangi tindakan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir (SCAF), semalam yang mengeluarkan satu dokumen meminda Perlembagaan dan memberikan mereka kuasa pentadbiran menyeluruh, termasuk mengawal perundangan.
Dokumen itu dikeluarkan selepas Mahkamah Agung Mesir pada minggu lalu membubarkan Parlimen negara ini.
Dokumen yang diundi secara tertutup itu meminda deklarasi Perlembagaan yang dikeluarkan pada Mac 2011, iaitu selepas kebangkitan rakyat di Mesir.
Ia turut menyatakan tidak akan ada pilihan raya untuk memilih Parlimen baru sehinggalah satu Perlembagaan tetap digubal.
SCAF turut diberi kuasa untuk mengawal hak veto negara ini berhubung sebarang penggubalan Perlembagaan baru. - AFP

No comments: