DAMSYIK 27 Jun - Presiden Syria, Bashar al-Assad menyatakan negara ini kini berada dalam keadaan perang dan mengarahkan Kabinetnya mengambil tindakan keras terhadap pemberontakan antirejim ketika pertempuran berlaku berdekatan ibu negara ini.
Ketika pemberontakan rakyat memasuki bulan ke-16, Assad semalam memberitahu Kabinet bahawa Syria kini menghadapi 'situasi perang sebenar'.
"Apabila negara berada dalam keadaan perang, semua polisi dan kemampuan yang ada digunakan untuk mencapai kejayaan,'' katanya yang dipetik oleh agensi berita SANA.
Di Syria, keganasan berlanjutan dengan sekurang-kurangnya 116 orang termasuk 68 orang awam, 41 askar dan tujuh anggota pemberontak maut semalam, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Pertempuran semakin menghampiri ibu negara ini dengan kejadian terbaru di kawasan luar Damsyik melibatkan pasukan pemberontak dan tentera Syria berdekatan pos Pengawal Republikan Qudsaya dan al-Hama.
Ketua pertubuhan pemantau, Rami Abdel Rahman berkata, buat pertama kali jentera berat digunakan dalam pertempuran berdekatan ibu negara.
"Perkembangan ini penting kerana ia merupakan pertempuran paling berat di kawasan itu dan berdekatan ibu negara,'' katanya.
Jurucakap aktivis di Damsyik, Abu Omar berkata, semua bentuk komunikasi diputuskan di dalam dan sekitar al-Hama dan Qudsaya.
"Tentera rejim menyerang kawasan berkenaan dengan kereta kebal,'' katanya.
SANA melaporkan, tentera rejim bertempur dengan kumpulan bersenjata di al-Hama dan membunuh berpuluh-puluh orang serta menangkap sejumlah yang lain. - AFP
No comments:
Post a Comment