LONDON 27 Jun - Usaha selama 30 tahun oleh dua orang pencari harta karun akhirnya berbaloi dengan penemuan sejumlah besar wang syiling zaman besi yang dianggarkan bernilai kira-kira 10 juta pound (RM50 juta).
Penemuan syiling Celtic di ladang pertanian di Jersey oleh kedua-dua pencari harta tersebut, Reg Mead dan Richard Miles merupakan yang terbesar pernah berlaku dengan jumlah 30,000 hingga 50,000 keping syiling perak dan sekeping syiling emas.
Berat kesemua syiling terbabit dianggarkan mencecah satu tan dan setiap syiling mempunyai nilai sehingga 200 pound (RM995).
Syiling itu dipercayai ditanam kira-kira 2,000 tahun dahulu oleh puak Celtic yang dikenali sebagai Coriosolitae ketika tentera Roman pimpinan Julius Caesar menyerang Pulau Channel, kini terletak di utara Perancis.
Mead dan Miles memulakan pencarian harta tersebut selepas mendengar khabar angin mengenai seorang petani terjumpa syiling lama di kawasan terbabit.
Pasangan pencari itu menggunakan pengesan besi yang kuat dalam usaha mencari lebih banyak harta karun di kawasan terbabit.
Namun selepas melakukan pencarian besar-besaran, mereka hanya menemui 120 syiling pada Februari lalu.
"Pada minggu lalu, mesin pengesan itu menunjukkan petanda yang kuat dan kami dengan segera memaklumkan kepada ahli arkeologi profesional untuk membantu kami.
"Saya sangat terkejut penemuan ini kerana kami sudah mencarinya sejak 1959 dan tidak pernah menemui syiling yang banyak sebegini," kata Mead, yang turut merahsiakan lokasi sebenar penemuan itu. - AGENSI
No comments:
Post a Comment