Pages

Thursday, June 28, 2012

Banjir terburuk Bangladesh

BANDAR Chittagong ditenggelami banjir yang biasa melanda di Bangladesh ketika musim tengkujuh.
BANDAR Chittagong ditenggelami banjir yang biasa
 melanda di Bangladesh ketika musim tengkujuh.
DHAKA: Tanah runtuh dan banjir disebabkan musim hujan di Bangladesh mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang di selatan negara itu dan menyebabkan 200,000 lagi terperangkap semalam ketika penyelamat berusaha mencari ramai lagi yang masih hilang, kata pegawai.

Hujan lebat selama tiga hari turun di negara itu dan tanah runtuh menenggelamkan rumah ketika penduduk tidur kelmarin dan awal pagi semalam.Ramai penduduk yang tidak berumah tinggal di kaki bukit atau kawasan berhampiran walaupun berulang kali diberi amaran pihak berkuasa. Musim banjir perkara biasa di Bangladesh yang mempunyai 160 juta penduduk.
“Ramai lagi penduduk dikhuatiri terperangkap dalam rumah di kaki bukit. Operasi menyelamat berterusan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Chittagong, Faiz Ahmad. 

Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak dan angka kematian mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat masih mencari penduduk yang masih hilang. 

Sukarelawan menggunakan pembesar suara memberi amaran kepada penduduk mengenai bahaya tanah runtuh ketika musim hujan, kata Jaynul Bari, pentadbir kerajaan di salah satu kawasan terjejas, daerah Cox’s Bazar. 

Banjir menenggelami puluhan kampung dan mengganggu komunikasi di kawasan itu. “Mayat 32 penduduk dewasa dan kanak-kanak ditemui di daerah Bandarban,” kata K M Tariqul Islam, ketua pentadbir kerajaan di kawasan yang terletak 248 kilometer ke tenggara Dhaka. Seramai 34 maut, kebanyakannya akibat tanah runtuh di daerah Cox’s Bazar. 

Bari berkata, 23 mayat ditemui dalam timbunan serpihan di Ukhia dan 11 lagi lemas dalam banjir. 

Kira-kira 200 yang kehilangan tempat tinggal ditempatkan di sekolah di tanah tinggi. Di Chittagong, satu lagi daerah di wilayah itu, mayat 10 penduduk ditemui tertimbus dalam tanah runtuh. 

Lapangan terbang di Chittagong ditutup beberapa jam kelmarin apabila banjir menenggelamkan landasan. Ia dibuka semula semalam selepas hujan berhenti. 

Hujan lebat lima hari melanda kawasan berhampiran sempadan Myanmar dan India dengan pejabat cuaca mencatatkan 463 milimeter hujan di Chittagong lebih 24 jam. 

“Kami berdepan hujan paling buruk dalam masa beberapa tahun,” kata Bari. 

Pegawai kaji cuaca berkata, hujan lebat dijangka turun beberapa hari lagi. Sementara itu, pegawai kawalan bencana berkata, kira-kira 150,000 penduduk terjejas akibat banjir di tenggara, manakala 50,000 lagi terperangkap di Sylhet. – AP/Agensi

No comments: