Pages

Thursday, June 28, 2012

Tanah runtuh, banjir ragut 100 nyawa di Bangladesh

Anggota bomba mengeluarkan mayat seorang bayi dan wanita dalam kejadian tanah runtuh di Chittagong, selatan Bangladesh, kelmarin. - REUTERS
DHAKA 27 Jun - Kejadian tanah runtuh dan bencana banjir yang dibawa oleh hujan monsun menyebabkan sekurang-kurangnya 100 penduduk di Chittagong, selatan negara ini maut, ketika pasukan mencari dan menyelamat hari ini terus mencari mangsa yang dikhuatiri hilang.
Hujan lebat selama tiga hari bermula Isnin lalu menyebabkan kejadian tanah runtuh, sekali gus meranapkan rumah-rumah penduduk yang sedang tidur pada awal pagi ini.
Kebanyakan mangsa korban terdiri daripada golongan wanita serta kanak-kanak dan jumlah itu dijangka meningkat tatkala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Bencana banjir yang melanda turut menyebabkan berpuluh-puluh penduduk kehilangan tempat tinggal dan terputus hubungan komunikasi.
Menurut Ketua Pentadbiran daerah Bandarban, K.M. Tariqul Islam, sebanyak 32 mayat dewasa dan kanak-kanak ditemui di daerah tersebut.
Dalam pada itu, sebanyak 23 daripada 34 penduduk maut selepas ditimbus tanah runtuh di daerah Bazar, manakala selebihnya lemas akibat banjir.
Di daerah Chittagong, mayat 10 penduduk ditemui di bawah runtuhan rumah akibat tanah runtuh, kata pegawai bomba Jasim Uddin selain lapangan terbang di daerah itu juga ditutup semalam selepas dinaiki banjir.
Kira-kira 200 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, turut dipindahkan menggunakan feri ke kawasan tinggi. - AGENSI

No comments: