Pages

Friday, June 8, 2012

Syria cetus kemarahan antarabangsa lagi


KANAK-KANAK antara mangsa serangan yang didakwa dilakukan oleh penyokong kerajaan Syria di Al-Kubeir, Hama.
KANAK-KANAK antara mangsa serangan yang
didakwa dilakukan oleh penyokong kerajaan
 Syria di Al-Kubeir, Hama.





Wanita, kanak-kanak antara 55 dibunuh di Hama 

DAMSYIK: Syria mencetuskan kemarahan baru masyarakat antarabangsa selepas militia pro pemerintah membunuh 55 penduduk di perkampungan Al-Kubeir, wilayah tengah Hama, kelmarin, kebanyakan mangsa adalah daripada satu keluarga.
“Ada 49 mangsa yang sudah disahkan identiti mereka di Al-Kubeir, majoriti daripada mereka adalah anggota keluarga Al-Yateem,” kata Ketua Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.
“Daripada semua yang maut, 18 adalah wanita dan kanak-kanak,” katanya sambil menambah bahawa enam orang lagi dibunuh di perkampungan dekat Al-Kubeir, sebuah kawasan pertanian di barat laut Hama. 

Laporan awal daripada pergerakan pembangkang menyatakan angka kematian antara 87 dan 100. 

Tentera Syria pula menyekat pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada tiba di kawasan kejadian, kata aktivis, semalam. 

“Tentera Syria menghalang pemerhati PBB tiba di perkampungan Al-Kubeir dan Maazaraf,” lapor Sham News Network. 
Ia menyatakan, pemerhati itu disekat di satu pos kawalan tentera dan dihalang meneruskan perjalanan. 

Majlis Kebangsaan Syria dan Ikhwanul Muslimin menyertai Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia menyalahkan militia Shabia yang pro Damsyik sebagai bertanggungjawab. 

Mereka berkata, anggota militia menyerbu sebuah penempatan kecil petang kelmarin menggunakan pisau dan senapang selepas tentera kerajaan menamatkan bedilan. 

Anggota militia itu mengelar, menikam dan menembak penduduk yang cuba lari. 
Seorang penduduk dari perkampungan berdekatan berkata, mayat rentung wanita dan kanak-kanak masih bergelimpangan di beberapa rumah di Al-Kubeir. 

Pembunuhan itu yang dinafikan oleh Damsyik berlaku dikutuk oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton yang menegaskan sudah tiba masanya Presiden Bashar al-Assad menyerah kuasa. 

Russia menganggap pembunuhan itu satu tindakan provokasi bertujuan menjejaskan pelan enam perkara utusan PBB dan Liga Arab, Kofi Annan. 

Russia dan China pada minggu ini menyatakan bantahan atas sebarang tindakan campur tangan atau mengubah rejim pemerintah di Syria. – AFP
Berita Harian Online | Syria cetus kemarahan antarabangsa lagi:

No comments: