MELAKA: Seorang mekanik terkejut apabila menjumpai seorang bayi lelaki yang hanya dibalut sehelai kain batik di atas sofa di beranda rumahnya di Batu Tujuh Bukit Gedong, Tanjung Kling di sini.
Md Isa Ali, 46, berkata ketika kejadian dia bersama isteri, Faridah Rais, 44, dan tiga anak mereka baru tiba di rumah kira-kira 11.30 malam Selasa lalu selepas keluar makan sempena menyambut hari lahir anak keduanya.
Isa berkata, sebaik turun dari kenderaan, dia dan keluarga mendengar tangisan bayi sebelum masuk ke dalam rumah untuk membuka lampu beranda rumahnya.
"Ketika kejadian kawasan beranda gelap dan kami hanya mendengar tangisan bayi. Pada mulanya kami berasa sangsi dan takut dan tidak menyangka ia sebenarnya bayi yang ditinggalkan kerana kami tiada anak kecil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Bapa tiga anak itu berkata, selepas menyalakan lampu hadapan rumahnya, dia bersama anak lelakinya Mohd Nizam, 17, menghampiri dan memeriksa bayi tanpa tali pusat yang dipercayai dilahirkan tidak sampai 24 jam itu.
Isa berkata, bayi dalam keadaan sempurna tanpa baju itu berada dalam keadaan basah akibat muntah, air kencing dan najis.
Katanya, beliau panggilan dan laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling pada jam 12.05 pagi.
"Saya dan keluarga amat terkejut dengan kejadian pertama yang berlaku di kampung itu sejak 46 tahun tinggal di situ dan berhasrat untuk mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat sekiranya dibenarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah, yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berkata bayi itu kini ditempatkan di bawah jagaan Hospital Melaka untuk rawatan.
Beliau berkata, pihaknya masih mengesan ibu kepada bayi yang ditinggalkan tanpa dokumen diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan menjadi mangsa dibaling seterika panas akibat perselisihan faham antara pasangan lelaki dan wanita di Taman Seri Kemendor Jasin, Rabu lalu.
Raja Shahrom berkata, dalam kejadian 4.30 petang itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu bengkak di muka dan melecur di bahagian kiri badan apabila seterika yang dibaling seorang penoreh getah berumur 35 tahun ke arah ibu bayi berkenaan yang berusia 27 tahun terkena mangsa yang kini dirawat di Hospital Melaka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment