Pages

Monday, June 4, 2012

KELEBIHAN TAMAR ‘AJWAH




DISEDIAKAN OLEH : Abdul Adil B Abd Aziz

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,masyarakat telah digemparkan dengan beberapa produk dan bahan yang di dakwa mempunyai pelbagai kesaktian dan kehebatan seperti kayu kokka dan gelang ajaib (sekadar menyebut beberapa contoh).

Tiada nas yang thabit yang membuktikan kebenaran dakwaan ini,ketaksuban sesetengah individu terhadap bahan-bahan di atas akhirnya membawa syirik kepada Allah,Na’uzubillahi min zalik.Di sini penulis ingin mengalih perhatian masyarakat islam di negara ini untuk mengenali kurma ‘ajwah penawar dari segala racun dan sihir.Sabda Rasul S.A.W:

أَخْبَرَنَا عَامِرُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ قَال
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَصَبَّحَ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعَ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ

TERJEMAHAN: TELAH DIKHABARKAN KEPADA KAMI OLEH ‘AAMIR IBN SA’AD DARIPADA BAPANYA TELAH BERKATA, BAHAWA TELAH BERSABDA RASULULLAH S.A.W ”BARANGSIAPA YANG MEMULAKAN PAGINYA SETIAP HARI DENGAN TUJUH BIJI TAMAR ‘AJWAH,DIA TIDAK AKAN DI MUDHARATKAN PADA HARI TERSEBUT OLEH RACUN DAN SIHIR.

Jelas disini bahawa memakan kurma ‘ajwah pada waktu pagi (sebelum sarapan) adalah sunnah Rasul S.A.W,dan wajib bagi kita sebagai umatnya untuk meneruskan kelangsungan sunnah ini.

Apakah sebenarnya kurma ‘ajwah ini ? Menurut ibn al-atheer kurma ‘ajwah ialah sejenis kurma yang berwarna agak kehitam-hitaman,yang pada mulanya ditanam oleh Rasul S.A.W di madinah dengan tangannya sendiri.

Al khattaabi pula menegaskan kurma ‘ajwah berfungsi untuk melindungkan diri daripada racun dan sihir,kerana keberkatannya .Kelebihan ini hanya untuk kurma madinah ini dan bukan untuk jenis yang lain.

Untuk ia berkesan terhadap sihir dan racun,terdapat tiga syarat perlu di ikuti ;

1.Di makan pada waktu pagi,sebelum memakan makanan lain
2.Bilangannya ialah tujuh
3.Kurma jenis ‘ajwah bukan jenis yang lain
Selain dapat menahan dan merawat racun dan sihir,kurma ‘ajwah juga mempunyai pelbagai lagi kelebihan dan kegunaan.

Menerusi kajian saintifik dan perubatan, kalsium,potassium,
sulfur,fosforus,magnesium,zat besi,vitamin B-6,asid folic,protein,gula dan nutrisi serat adalah antara elemen-elemen yang terkandung dalam sebiji kurma ‘ajwah.

Komposisi bahan dalam kurma ‘ajwah ini mempunyai khasiat dan kelebihan tersendiri,contohnya kadar gula (glukos dan fruktos yang mengandungi nilai kalorific yang tinggi) yang tinggi dalam kurma (70%-80%) dapat membantu sistem pencernaan dan amat diperlukan oleh otak.

‘Ajwah boleh membantu tumbesaran dan menghilangkan kelesuan jika di ambil dengan susu sebelum tidur.Selain itu ia juga baik untuk penglihatan dan mencegah rabun malam.

Pakar pemakanan merumuskan kurma ialah diet yang terbaik bagi ibu yang menyusukan anak kerana bahan dalam kurma mempunyai keupayaan untuk mengurangkan kemurungan atau depression dan dapat memperkayakan susu ibu dengan nutrient yang diperlukan oleh anak untuk melawan penyakit dan kekal sihat.

Apakah sebenarnya rahsia dan hikmah anjuran Rasul S.A.W supaya memulakan hari kita dengan kurma ‘ajwah,menurut penemuan dari kajian yang di jalankan oleh sekumpulan saintis,pengambilan kurma pada waktu pagi boleh membunuh cacing dan parasit yang berbahaya di dalam tubuh kita.

Selain itu, rahsia dan kehebatan amalan dalam islam yang berkaitan dengan kurma juga telah disingkap melalui beberapa kajian saintifik yang telah dijalankan,sebagai contoh, nutrient dalam kurma berfungsi untuk menghilangkan rasa lapar,jadi tidak hairanlah mengapa kita di saran untuk memulakan ifthar (berbuka puasa) dengan kurma.

Satu kajian perubatan telah membuktikan bahawa benda manis yang di letakkan di dalam mulut bayi dapat mengurangkan kesakitan dan menormalkan kembali kadar denyutan jantungnya,amalan ini dipanggil sebagai tahnik di dalam islam dan sunat melakukannya dengan benda manis seperti kurma.

Kesimpulannya, telah terbukti bahawa kurma ‘ajwah ialah satu kurniaan Allah yang sangat bernilai dan bermanfaat,jadi sebagai hambaNya wajib bagi kita bersyukur atas kurniaan ini.Dan sebagai umat Muhammad telah menjadi kewajipan atas kita untuk terus melestarikan sunnah baginda ini (memulakan hari dengan memakan kurma ‘ajwah).

Akhir sekali, penulis ingin mengingatkan kepada saudara-saudara seagama agar betulkan i’tiqad dan tanamkan keyakinan dalam diri bahawa As-Syifa’ (Yang Maha Menyembuh) itu hanya Allah dan tiada lain selain Dia,kurma ‘ajwah dan penawar-penawar yang lain hanya musabbab semata-mata. WALLAHU ‘ALAM

No comments: