Pages

Friday, May 18, 2012

Syria tahan tentera upahan

Bashar al-Assad, Presiden Syria
Bashar al-Assad, Presiden Syria


Bashar dakwa ia bukti penentang kerajaan bukan aktivis prodemokrasi

BEIRUT: Syria menangkap tentera upahan asing yang membantu pembangkang negara itu sekali gus membuktikan tenteranya memerangi pengganas, bukannya aktivis prodemokrasi.
Presiden Bashar al-Assad mendedahkan perkara itu ketika ditemu bual kali pertama selepas hampir setengah tahun oleh stesen televisyen Russia, Rossiya-24.
Barat hanya bercakap mengenai keganasan oleh pihak kerajaan. Tiada yang diperkatakan langsung mengenai pengganas. - Bashar al-Assad, Presiden Syria
Bashar berkata, negara Barat tidak mempedulikan keganasan oleh pengganas dan akan menuntut penjelasan daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Kofi Annan yang melawat Damsyik lewat bulan ini.

Katanya, sejak ketibaan pemerhati PBB, serangan pengganas meningkat sekalipun pertempuran secara langsung antara askar kerajaan dan musuh berkurangan.

“Negara Barat hanya bercakap mengenai keganasan oleh pihak kerajaan. Tiada yang diperkatakan langsung mengenai pengganas,” katanya.

Lebih 200 pemerhati PBB ditempatkan di seluruh Syria untuk memantau perjanjian gencatan senjata, yang berulang kali dicabuli oleh kedua-dua pihak sejak ia berkuat kuasa 12 April lalu. 
Selain itu, katanya, keputusan pembangkang yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Syria (SNC) untuk memulaukan pilihan raya Parlimen awal tahun ini mencemarkan nama baik SNC.

“Gesaan memulaukan pilihan raya, ia sama dengan desakan memulaukan rakyat. Bagaimana hendak memulaukan rakyat jika anda anggap mewakili mereka?

“Jadi, saya tidak rasa mereka mengutamakan kepentingan Syria ” katanya dalam kenyataan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Russia.

Bashar berkata, pelampau agama dan anggota al-Qaeda dari luar negara adalah antara pasukan yang menentang kerajaannya.

“Ada tentera upahan asing, sebahagiannya masih hidup. Mereka ditahan dan kami sedia tunjukkan kepada dunia,” katanya.

Temu bual terakhir Bashar adalah dengan pengacara ABC, Barbara Walters, Disember lalu. Temubual terbaru dibuat dengan media Russia kerana negara itu menjadi sekutu paling setia Syria.

Agensi berita Associated Press (PA) menyatakan, Russia menjual senjata kepada Syria dan menghalang tindakan terhadap Damsyik di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah menjejaskan lagi tentangan terhadap Damsyik ialah tindakan satu kumpulan aktivis mengancam untuk menarik diri daripada blok pembangkang atas alasan SNC sudah menjauhi semangat revolusi.

Kumpulan itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC) yang menuduh kepemimpinan SNC gagal berunding dengan anggota blok dan membuat keputusan sendiri dalam isu besar. – AP

No comments: