Pages

Friday, May 18, 2012

Pengguna Twitter Britain cecah 10 juta



LONDON 17 Mei - Twitter secara rasminya mengesahkan seramai 10 juta penduduk Britain kini menggunakan laman mikro blog itu, sekali gus menjadi pengguna keempat terbanyak di dunia.
Menurut syarikat itu dalam akaun rasminya di Twitter semalam, sebanyak 10 juta penduduk Britain aktif menggunakan media sosial itu dengan 80 peratus daripada mereka melayarinya melalui telefon bimbit.
Negara yang paling ramai menggunakan Twitter ialah Amerika Syarikat, Brazil dan Jepun.
"Sebanyak 140 jenama turut diiklankan dalam laman sosial itu sejak kami membuka cawangan di United Kingdom pada September lalu.
"Setahun lalu, kami bermula tanpa seorang pekerja, tetapi kini kami memiliki 30 kakitangan," kata jurucakap syarikat itu.
Terdapat 140 juta pengguna Twitter di seluruh dunia dan mikro blog itu mengendalikan kira-kira 340 juta tweet setiap hari.
Walaupun Twitter mempunyai pengguna yang ramai kerana selebriti gemar mengemas kini perkembangan terbaru mereka di rangkaian sosial itu, ia sebenarnya masih kecil berbanding media sosial lain seperti Facebook yang kini memiliki 900 juta pengguna.
Bagaimanapun, Twitter telah menambah pelbagai ciri baru untuk bersaing dengan laman media sosial lain. - AGENSI

No comments: