JAKARTA - Konsert Lady Gaga di Indonesia dibatalkan semalam atas sebab keselamatan selepas beberapa kumpulan Islam memberi amaran akan menghuru-harakan keadaan jika bintang pop tersebut memasuki negara Islam berkenaan.
"Keputusan ini dibuat pihak pengurusan Lady Gaga pada saat-saat akhir," kata Minola Sebayang yang merupakan peguam untuk promoter konsert tersebut di Indonesia, Big Daddy.
"Kami membuat keputusan ini selepas mengambil beberapa faktor lain termasuk keselamatan peminat yang akan menonton persembahan Lady Gaga," tambahnya.
Pada awal bulan ini, polis Jakarta enggan meluluskan permit konsert Lady Gaga selepas Barisan Pembela Islam mengancam keganasan akan berlaku jika konsert Lady Gaga diadakan di sini.
Terdahulu, promoter tersebut memberitahu, satu persetujuan diusahakan dengan pihak berkuasa supaya penyanyi lagu Poker Face itu tidak beraksi terlalu seksi ketika beraksi di pentas.
Namun, pihak pengurusan Lady Gaga, 26, atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta enggan melayan permintaan tersebut.
Mengulas keputusan tersebut, Presiden Bid Daddy, Michael Rusli berkata, beliau kesal kerana konsert Lady Gaga yang dijadualkan pada 3 Jun depan di sini terpaksa dibatalkan.
"Sejak beberapa hari lalu, kami berbincang dengan pemerintah dan pihak Lady Gaga. Pembatalan ini sebenarnya tiada kaitan dengan isu permit kerana konsert ini telah diluluskan," kata Rusli.
"Pembatalan ini sebenarnya atas sebab ancaman keselamatan," tambahnya.
Lebih 50,000 tiket telah dijual untuk acara tersebut yang merupakan sebahagian konsert jelajah Born This Way Ball.
Sebelum ini, konsert Lady Gaga berdepan bantahan daripada beberapa kumpulan Kristian di Filipina dan Korea Selatan kerana dianggap tidak bermoral.
Lady Gaga akan mengadakan tiga buah konsert di Singapura pada minggu ini.
Dia dijadual mengadakan persembahan berikutnya di sini sebelum berlepas ke New Zealand dan Australia dan seterusnya Eropah. - AFP
No comments:
Post a Comment