Pages

Thursday, March 15, 2012

Rubina Ali dapat tawaran berlakon




GAMBAR fail menunjukkan Rubina dijulang oleh jiran-jirannya di kawasan setinggan 
Behrampada di Mumbai pada 26 Februari 2009.


NEW DELHI - Pelakon kanak-kanak filem Slumdog Millionaire dari India, Rubina Ali akan membintangi sebuah filem baharu bersama legenda Hollywood, aktor Anthony Hopkins, kata pengurusnya semalam.
Rubina yang kini berusia 13 tahun bakal berlakon dalam filem Lord Owen's Lady.
Filem itu mengisahkan cinta seorang bangsawan muda Wales dengan seorang wanita India.
Penggambaran filem itu dijadualkan pada September tahun ini di Britain dan India.
"Pihak penerbit filem itu memaklumkan kepada kami bahawa dia akan menjalani penggambaran selama tiga minggu di Shimla (utara India), Wales dan London," kata pengurus Rubina, Dubey dari Mumbai.
Menurutnya, Rubina telah menandatangani kontrak untuk berlakon dalam filem itu.
Rubina yang berasal dari sebuah kawasan penduduk miskin di Mumbai dipilih untuk melakonkan watak Latika dalam filem Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle pada tahun 2008.
Dia akan dibayar lebih AS$31,000 (RM94,678) untuk filem terbaharunya itu.
Ketika berlakon dalam filem Slumdog Millionaire yang memenangi lapan anugerah Academy pada tahun 2009, Rubina hanya berusia lapan tahun. - AFP

No comments: