Pages

Wednesday, February 8, 2012

Presiden Maldives letak jawatan


MALE - Presiden Maldives, Mohamed Nasheed meletak jawatan semalam selepas berlaku tunjuk perasaan selama beberapa minggu di kepulauan berkenaan sehingga menyebabkan pasukan polis turut memberontak.

Nasheed yang pernah dipuji kerana memperkenalkan demokrasi di Maldives dikecam bersifat diktator sama seperti pemimpin sebelumnya semasa dia memerintah.

Nasheed menyerahkan kuasa negara yang terletak di Lautan Hindi itu kepada Naib Presiden, Mohamed Waheed Hassan Manik.

Beliau membuat keputusan untuk meletak jawatan kerana tidak sanggup menggunakan kekerasan terhadap rakyatnya.

"Saya meletak jawatan kerana saya bukan orang yang mahu memerintah dengan menggunakan kekerasan," katanya dalam satu ucapan di televisyen.

"Saya percaya jika pemerintahan sedia ada mahu terus berkuasa ia perlu menggunakan kekerasan yang akan memudaratkan ramai rakyatnya," tambah beliau.

Pada pagi semalam, askar-askar dilihat melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan dan polis yang mengepung ibu pejabat Pasukan Keselamatan Kebangsaan Maldives di Dataran Republik.

Nasheed berkuasa selepas memenangi pilihan raya pada 2008.

Beliau berikrar melaksanakan pemerintahan demokrasi sepenuhnya tetapi dikecam kerana tindakannya menangkap seorang hakim yang didakwa sebagai tali barut Presiden sebelumnya, Maumoon Abdul Gayoom yang memerintah negara itu selama 30 tahun.

Hakim itu didakwa melakukan rasuah dan membuat keputusan berat sebelah.

Semasa memerintah, dia terkenal kerana bercakap mengenai kepentingan alam sekitar dan pernah mengadakan mesyuarat Kabinet di dasar laut pada 2009.

Namun, pemerintahannya dicemari dengan tunjuk perasaan berhubung harga barang yang meningkat ekoran pembaharuan ekonomi yang dilaksanakannya.

Para aktivis Islam juga membuat protes bagi menuntut dasar-dasar yang lebih bersifat keagamaan. - ReutersKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments: