JEDDAH: Pegawai Kebajian Belia Arab Saudi menafikan laporan media mendakwa kerajaan membenarkan wanita memasuki stadium dan menyaksikan sesuatu perlawanan sukan.
Pengarahnya, Ahmad Rawzi, berkata jabatan itu setakat ini tidak mengeluarkan sebarang arahan berkenaan.
“Jika ada arahan rasmi membenarkan wanita memasuki stadium, ia mesti diumumkan pihak berkuasa,” katanya.
Kenyataan Ahmad itu dibuat sebagai reaksi terhadap laporan media mendakwa wanita dibenarkan menyaksikan perlawanan Kejohanan Bola Baling Lelaki Asia yang kini dilangsungkan di Jeddah.
Menurut Ahmad, wanita yang hadir menyaksikan perlawanan itu adalah wartawan dari beberapa akhbar harian tempatan.
“Wartawan wanita biasanya hadir dalam majlis sebegitu,” katanya. Sementara itu, seorang daripada wanita yang hadir menyaksikan perlawanan bola baling itu berkata, ia sangat simbolik walaupun jumlahnya tidak ramai.
Katanya, dia sangat gembira ketika pengacara televisyen - untuk kali pertama - mengalu-alukan kedatangan wanita ke perlawanan berkenaan.
“Saya masih ingat bagaimana pengacara lelaki itu memulakan pengumuman dengan berkata: Tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Perlawanan pertama di kejohanan itu berlangsung di antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Penyelia kejohanan, Turki al-Khilaiwi, juga gembira apabila wanita Arab Saudi hadir untuk menyokong pasukan negara itu.
“Ini satu kemajuan dan menandakan wanita negara ini mungkin dibenarkan menyaksikan semua perlawanan selepas ini,” katanya. - AN
No comments:
Post a Comment