Pages

Wednesday, February 1, 2012

Ki-moon desak Palestin-Israel kembali berunding

AMMAN 31 Jan. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, hari ini memulakan misi damai Asia Barat bagi meningkatkan tekanan ke atas kepimpinan Palestin dan Israel untuk kembali ke rundingan secara terus.
Menurut pegawai, Ki-moon akan mengadakan rundingan di Amman dengan Raja Abdullah II dan Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh.
Beliau juga dijangka menghadiri pertemuan utama esok dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Tebing Barat.
Rundingan terus Palestin-Israel terhenti sejak September 2010. Kedua-dua pihak itu bertemu di sini bulan ini, tetapi rundingan masih tidak mencapai sebarang perkembangan.
"Kehadiran saya pada ketika ini amat penting. Saya akan menggalakkan pihak terlibat supaya bersungguh-sungguh mengadakan rundingan dan mewujudkan persekitaran positif agar kemajuan dapat dicapai," katanya pada satu sidang media di New York minggu lalu.
Menurut pegawai PBB, Ki-moon juga akan bertemu Presiden Israel, Shimon Peres serta beberapa pegawai dari kedua-dua pihak sepanjang kunjungannya.
Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton minggu lalu berkunjung ke Baitulmaqdis dan Ramallah bagi mendesak Netanyahu serta Abbas menyambung semula rundingan terus. Diplomat berkata, Amerika Syarikat (AS) juga meletakkan tekanan diplomatik ke atas Palestin dan Israel.
PBB merupakan antara Kuartet diplomatik yang menjadi pengantara rundingan damai Asia Barat bersama-sama EU, Rusia dan AS.
Palestin menghentikan rundingan terus pada 2010 sebagai membantah keengganan Israel untuk melanjutkan tempoh pembekuan sementara projek pembinaan rumah haram Yahudi di wilayahnya.
Ketika kuasa-kuasa antarabangsa terus mengutuk tindakan Israel tersebut, kebuntuan itu digunakan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa yang menyokong Palestin sebagai negara bebas selain permohonan sebagai anggota penuh PBB. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: