Pages

Tuesday, January 31, 2012

AS tak berani serang Iran

TEHERAN: Panglima Tentera Darat Iran semalam berkata, Amerika Syarikat tidak berani untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap Republik Islam itu.

“Meskipun Washington mengerahkan kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson ke Teluk Parsi dan Amerika Syarikat memiliki senjata canggih, negara itu dan sekutunya tidak akan berani untuk melancarkan serangan terhadap Iran,” kata Brigadier Jeneral Ahmad Reza Pourdastan.


Menurutnya, mereka gentar terhadap tentera dan negara Iran.

Awal Januari lalu, Pentagon mendakwa USS Carl Vinson yang membawa bersama-samanya 80 kapal terbang dan helikopter tiba di ‘kawasan tanggungawab’ (AOR). Menurut tanggapan Amerika Syarikat, kawasan itu membabitkan Teluk Parsi, Laut Merah, Teluk Oman dan sebahagian Lautan Hindi.


Pemerintah kanan tentera Iran itu berkata, Amerika Syarikat dan Barat meningkatkan ancaman dan mengenakan sekatan demi sekatan terhadap Iran yang semuanya terbukti tidak berkesan.


Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pada 5 Januari lalu mengumumkan perubahan strategi pertahanan negara itu bagi mengurangkan perbelanjaan ketenteraan.


Dokumen lapan muka surat itu bagaimanapun tidak mengandungi butir mengenai bagaimana perubahan itu akan memberi kesan kepada pengurangan tentera atau senjata, termasuk sama ada ia akan memberi lebih banyak tumpuan terhadap Asia dan mengurangkan tumpuannya di Eropah.


Pegawai Iran sudah memberi amaran, sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran akan menerima tindak balas serta-merta dan ia tidak akan terhad di rantau Asia Barat saja. - Agensi

No comments: