Pages

Tuesday, January 31, 2012

‘Abangku wira’

PADAM...bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, semalam. Gambar kecil, Justin.PENAMPANG: Seorang budak berusia 10 tahun sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak semata-mata mahu menyelamatkan dua adiknya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, di sini, semalam.Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kanak-kanak berkenaan, Nigel Justin, melecur di tangan selepas meredah masuk menyelamatkan dua adiknya, Agustin, 6, dan Victor, 2, yang ketika itu berada dalam rumah yang terbakar.

Difahamkan, ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu, Justin Banot, 48, tiada di rumah kerana menemani seorang lagi anaknya, Jun Jenifer, 9, yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini, manakala anak sulungnya, Ricky, 19, bekerja di pekan Inanam.
Difahamkan, ibu kanak-kanak itu yang tidak dikenali dikatakan sudah tidak lagi tinggal di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu walaupun dia belum bercerai dengan suaminya.

Akibat kejadian itu, rumah dua tingkat milik Justin musnah dan menyebabkan kerugian lebih RM60,000 termasuk kedai runcit disewa di tingkat bawah rumah turut rentung.

Menurut Nigel, ketika kejadian, dia di rumah menjaga dua adik selepas bapa pergi menziarah seorang lagi anaknya di hospital.
“Saya terhidu bau asap yang kuat dan terkejut apabila mendapati dapur rumah terbakar.

“Ketika itu, saya hanya berfikir menyelamatkan adik lalu berlari ke ruang tamu dan menarik tangan Agustin keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.
Namun, selepas itu, Nigel menyedari seorang lagi adiknya, Victor tiada bersama lalu nekad masuk semula ke dalam rumah walaupun ketika itu api mula merebak.

“Saya terus ke bilik tidur dan terus mengangkat Victor yang ketika itu nyenyak tidur lalu berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya.

“Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda lain termasuk kelengkapan sekolah kerana hanya terfikir untuk menyelamatkan kedua-dua adik saya,” katanya.

Sementara itu, Justin ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia ke hospital untuk menemani seorang lagi anaknya yang dirawat kerana menghidap penyakit sawan.

“Saya terkejut dan hampir pitam apabila memikirkan keselamatan anak sebaik menerima panggilan memberitahu rumah saya terbakar.

“Walaupun tidak sempat menyelamatkan sebarang harta, saya bersyukur semua anak selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Johnny John Jinuli berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.18 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Seramai 11 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal satu jam kemudian.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya

No comments: