HABIS...rak barangan makanan di sebuah pasar raya di New York kosong selepas orang ramai berbelanja mengumpul stok makanan. |
NEW YORK: Berpuluh ribu penduduk di pantai timur Amerika Syarikat meninggalkan kediaman mereka dan pusat peranginan di kawasan itu, semalam ekoran taufan Irene yang menyebabkan lapangan terbang, sistem pengangkutan dan pusat perniagaan ditutup. Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mengarahkan perpindahan penduduk secara besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan penutupan sistem kereta api bawah tanah di bandar raya itu, manakala Presiden Barack Obama memendekkan percutian musim panasnya untuk kembali ke Washington. Taufan kategori kedua yang bertiup selaju 160 kilometer per jam itu melanda pantai Carolina Utara, semalam sebelum bergerak ke kawasan pantai menuju ke Washington, New York dan Boston. Bandar raya New York yang menjadi kediaman lebih 65 juta orang itu menghadapi ancaman banjir, ribut, bekalan tenaga terputus dan kemusnahan yang dikatakan pakar mungkin mencecah kerugian AS$12 bilion (RM36 bilion). Sementara itu, Bloomberg dalam sidang akhbar semalam mengarahkan perpindahan secara besar-besaran yang pertama penduduk dari kawasan rendah di bandar raya itu yang dihuni kira-kira 250,000 orang memberi amaran bahawa ia adalah perkara hidup dan mati. “Kita tidak pernah mewajibkan penduduk berpindah sebelum ini dan kita tidak akan melakukannya sekarang jika keadaan taufan itu tidak serius,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment