KANGAR 18 Ogos - Seorang penuntut tahun akhir kursus perubatan Allianze College of Medical Sciences (ACMS) rentung selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 7, Jalan Kangar-Alor Setar, Kedah dekat Kampung Bohor Mali di sini, semalam.
Ketika kejadian pukul 7.50 petang, mangsa, Mohammad Danial Zulkifli, 24, yang memandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Kangar, Perlis.
Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, mangsa difahamkan tiba-tiba membuat pusingan U di kawasan itu sebelum dirempuh oleh sebuah kereta Toyota Corolla.
"Kereta Toyota Corolla itu datang dari arah yang sama dan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua kereta tersebut terbakar, namun pemandu Toyota Corolla, Lim Tai Eng, 58, seorang peniaga dari Jalan Raja Syed Alwi di sini, sempat menyelamatkan diri.
Katanya, Mohammad Danial yang berasal dari Presint 9, Putrajaya gagal menyelamatkan diri akibat tersepit.
"Tai Eng yang patah bahu kanan dan luka di seluruh badan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan," ujar beliau.-utusan
No comments:
Post a Comment