JUTAAN umat Islam berhimpun di depan Masjidilharam sempena Ramadan di Makkah, kelmarin. |
Kawal jemaah di dua masjid 10 Ramadan terakhir
MAKKAH: Ketua Pengarah Pertahanan Awam Arab Saudi, Leftenan Jeneral Saad bin Abdullah Al-Tuwaijri, menegaskan jabatannya bersedia berdepan dengan jutaan jemaah yang memenuhi masjid di Makkah dan Madinah menjelang 10 hari terakhir Ramadan.
“Di Masjidilharam saja, kami akan menempatkan 1,000 anggota tambahan pada 10 terakhir Ramadan. Mereka dilengkapkan dengan peralatan diperlukan untuk sebarang urusan jika diperlukan.
“Masjid Nabi juga akan menerima 1,000 anggota tambahan. Anggota kami akan ditempatkan di banyak bahagian Masjidilharam, termasuk kawasan perluasan dan di laman selain jalan utama ke masjid,” katanya.
Beliau berkata, semua itu menunjukkan usaha Jabatan Pertahanan Awam untuk memastikan keselamatan jemaah.
“Kami akan membuang semua halangan yang menyusahkan penduduk awam dan bertindak tegas dengan sebarang langkah mengambil kesempatan di atas pertambahan jumlah jemaah,” katanya.
Al-Tuwaijri menyifatkan bilangan jemaah yang ramai pada 10 hari terakhir Ramadan sebagai cabaran besar kepada pegawai pertahanan awam selain agensi awam dan persendirian yang datang sebagai tetamu Allah.
Katanya, pegawai pertahanan awam memperoleh banyak pengalaman berurusan dengan situasi berbeza ketika kemuncak Ramadan.
“Kami mengawal aliran jemaah di Masjidilharam untuk mengelak kemungkinan berlakunya tolak menolak ketika kesesakan,” katanya.
Kamera juga dipasang di beberapa bahagian Masjidilharam dan wilayah tengah Makkah untuk mengawasi pergerakan jemaah dari bilik operasi dan bertindak jika diperlukan.
Jabatan Pertahanan Awam menempatkan 9,600 pegawai di Makkah dengan 1,440 peralatan dan 2,000 lagi dengan 400 peralatan. – Agensi , bharian
No comments:
Post a Comment