Pages

Friday, August 19, 2011

20 hari koma dibuli senior

KOMA...Mat Razarizu terlantar dipercayai akibat dibuli rakan sekelas.
KOMA...Mat Razarizu terlantar dipercayai akibat dibuli rakan sekelas.
GUA MUSANG: “Apa salah adik saya dipukul sehingga koma. Mengapa dia dizalimi begitu teruk sekali,” kata Mat Razarizi Mat Zaki, 21, yang mendakwa adiknya, Mat Razarizu, 14, koma selepas dibuli rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Bertam, di sini, 29 Julai lalu.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Mat Razarizi dari Kampung Bertam Baru, di sini, mendakwa adiknya dipukul, ditumbuk serta dipijak di dada oleh lebih daripada seorang rakan sekelasnya.

Akibatnya, Mat Razarizu mengalami pendarahan dalaman sehingga koma dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Menurutnya, sehari selepas kejadian, adiknya mengadu sakit badan sehingga demam sebelum dibawa ke Pusat Kesihatan Bertam Baru, di sini, untuk rawatan.

Katanya, doktor di situ merujuk adiknya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, di HGM, keadaan adik semakin teruk apabila tidak boleh makan dan muntah menyebabkan HGM merujuknya ke Hospital Kuala Krai (HKK) pula. Di situ dia terus tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke HRPZII dan terus koma.


“Sebelum tidak sedarkan diri, adik ada memberitahu dia dibuli lebih daripada seorang rakan sekelas apabila dipukul, ditumbuk dan dipijak di dada. Pilu hati saya melihat adik saya dizalimi dan paling menyedihkan dia saya beritahu ketika dibuli, rakan lain termasuk pengawas hanya melihat tanpa memberi pertolongan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Mat Razarizi yang membuat laporan di Balai Polis Bertam Baru, di sini, beberapa hari selepas kejadian mendakwa, pihak sekolah juga tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian itu walaupun dimaklumkan adiknya koma akibat dibuli rakan sekelas sehingga menerima rawatan di ICU HRPZII, dua minggu lalu.



Katanya, pelajar yang membuli adiknya itu dipercayai tinggal di Kampung Jerek di sini dan masih datang ke sekolah seperti biasa kerana tiada tindakan dikenakan. “Kami juga membuat laporan polis selepas kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Menurut Mat Razarizi, dia percaya adiknya tiada musuh dengan rakan di sekolah itu kerana baik dan sentiasa memberi tumpuan kepada pelajaran berikutan menyedari keluarganya miskin.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.-bharian

No comments: