Pages

Thursday, August 18, 2011

Gaddafi tumbang akhir Ramadan

BENGHAZI: Kedudukan pemberontak Libya semakin kukuh dengan kemaraan baru di medan pertempuran semalam.
Dalam pada itu, pemimpin kumpulan itu berkata, perang saudara selama enam bulan itu kini memasuki fasa penentuan dan mungkin berakhir dalam masa beberapa minggu lagi.

Tentera pemberontak dilapor mara lebih jauh bagi memencilkan Tripoli dengan bergerak ke arah sebuah bandar di barat negara itu yang menghubungkan ibu negara berkenaan dengan Sirte, bandar asal Muammar Gaddafi dan juga kubu kuat tenteranya.

“Pasukan peninjau kumpulan revolusi tiba di pinggir Al-Heisha selepas mengusir tentera Gaddafi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan markas tentera pemberontak awal semalam.

Al-Heisha terletak kira-kira 70 kilometer ke selatan Misrata dan 250 kilometer dari Tripoli, berhampiran dua persimpangan utama yang menghubungkan wilayah yang dikuasai penyokong Gaddafi di Sirte.

Ia perkembangan terbaru dalam pertempuran bagi memencilkan Tripoli yang diharap oleh pemberontak akan memaksa lebih ramai penyokong pemimpin Libya itu berpaling tadah dan mencetuskan kebangkitan menentang rejim Gaddafi di Tripoli. Duta Majlis Peralihan Kuasa Kebangsaan di Paris, Mansur Saif al-Nasr berkata, pemberontak kini sudah menguasai sepenuhnya Zawiyah, pelabuhan penting di barat Tripoli yang menghubungkan ibu negara itu dengan Tunisia. “Kami memasuki fasa penentuan. “Kami berharap dapat meraikan kemenangan serentak dengan berakhirnya Ramadan,” katanya. - AFP, hmetro

No comments: