Pages

Sunday, August 14, 2011

Penyerang Ashraf didakwa


PAPARAN YouTube menunjukkan seorang perusuh mencuri barang daripada beg sandang Ashraf (kanan) sambil diperhatikan rakan-rakan mereka dalam rusuhan di London pada 8 Ogos lalu.

LONDON – Polis Britain mendakwa seorang lelaki kerana merompak pelajar Malaysia, Muhammad Ashraf Haziq Rosli di sini dalam insiden yang ditonton oleh berjuta-juta orang menerusi klip video di Internet, kata agensi polis Scotland Yard semalam Dalam klip video berkenaan, Ashraf yang mengalami patah tulang rahang dalam kekacauan di Barking, timur bandar raya ini, dilihat sedang dibantu untuk berdiri oleh beberapa lelaki sebelum mereka sebaliknya meragut barang-barang di dalam beg sandangnya. Susulan kejadian itu, polis Britain mendakwa Reece Donovan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Romford, di sini, kerana merompak Ashraf. Seorang jurucakap polis berkata, Donovan dihadapkan ke mahkamah lewat semalam. Dia ditangkap pada Khamis lalu berikutan kemarahan orang ramai berhubung serangan yang berlaku ke atas pelajar Malaysia berusia 20 tahun itu. Ashraf menjalani pembedahan kerana patah tulang rahang pada Rabu lepas susulan serangan tersebut dan dibenarkan keluar dari hospital pada keesokan harinya. Klip video serangan tersebut ditonton hampir tiga juta kali di laman perkongsian video YouTube dengan insiden itu dikecam Perdana Menteri David Cameron yang menganggapnya sebagai ‘menjijikkan’. Polis Britain telah menangkap lebih 1,600 orang semasa rusuhan empat hari yang menggemparkan bandar raya ini dan beberapa bandar utama lain di Britain pada minggu ini.

No comments: