Pages

Friday, June 3, 2011

Suami isteri dibunuh kejam




ANGGOTA-ANGGOTA polis mengangkat mayat salah seorang mangsa bunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gebok, Pajam, Nilai, semalam.


SEREMBAN 2 Jun - Sepasang suami isteri dibunuh kejam dengan ditikam di leher, kepala dan perut menggunakan pisau oleh dua lelaki ketika meninjau ladang kelapa sawit mereka di Kampung Gebok, Pajam dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan pekerja pasangan itu turut diikat, selain diacu dengan pisau oleh kedua-dua suspek ketika cuba membantu mangsa.
Pekerja itu yang berusia lingkungan 60-an bagaimanapun bernasib baik apabila hanya diikat sebelum ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, pasangan suami isteri itu, R. Muthu, 65, dan isterinya, S. Rukumani, 61, mati di tempat kejadian dengan kesen tikaman di leher, kepala serta perut.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika pasangan itu yang menaiki sebuah lori datang ke ladang berkenaan untuk meninjau tanaman kelapa sawit milik mereka.
"Sebaik sahaja tiba di ladang sawit itu, mereka dihampiri dua lelaki bersenjatakan objek tajam dipercayai pisau yang terus menyerang mereka.
"Suspek yang berusia lingkungan 20-an itu kemudiannya mengikat seorang pekerja mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa mengenali suspek dan pihaknya menolak kemungkinan serangan itu bermotifkan samun.
"Kita sedang mengesan kedua-dua suspek ini yang masih bebas dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu, menurut pekerja yang terselamat dan hanya mahu dikenali sebagai Mateus, ketika kejadian dia sedang bekerja di ladang berkenaan sebelum terdengar bunyi orang menjerit.
Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi berkenaan dan ternampak pasangan suami isteri majikannya dalam keadaan berlumuran darah berhampiran lori milik mereka.
"Tiba-tiba, dua lelaki muncul sambil mengacukan pisau di perut saya. Mereka merampas telefon bimbit sebelum mengikat kaki dan tangan saya dan meninggalkan saya dalam sebuah pondok," katanya.
Tambah Mateus, selepas kedua-dua suspek melarikan diri, dia berusaha membuka ikatan sebelum meminta bantuan daripada penduduk kampung.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments: