Pages

Friday, June 3, 2011

Tentera Syria tembak mati 41 orang


ANTALYA, Turki 2 Jun - Tentera Syria dilaporkan membunuh seramai 41 orang awam dalam usaha mematahkan protes prodemokrasi di negara ini, kelmarin.

Insiden itu berlaku sehari sebelum pemimpin pembangkang mengadakan pertemuan di bandar Antalya, Turki untuk berkomplot menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad, semalam.
Peguam daripada kumpulan hak asasi manusia, Razan Zaitouna berkata, seramai 41 orang terbunuh di Rastan, termasuk kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ketika tentera kerajaan melepaskan tembakan di tengah bandar itu, kelmarin.
"Lima daripada mangsa yang terkorban itu dikebumikan di bandar itu, semalam," katanya kepada Reuters melalui panggilan telefon dari Damsyik, semalam.
Tentera Syria dilaporkan turut membunuh sembilan lagi penduduk awam di bandar Hirak kelmarin, menurut seorang pejuang hak asasi, Ammar Qurabi.
Sembilan mangsa itu termasuk tiga doktor, seorang doktor gigi dan seorang budak perempuan berusia 11 tahun akibat terkena tembakan penembak hendap ketika serbuan ke atas sebuah rumah oleh tentera.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Syria, setakat ini kira-kira 1,000 penduduk awam telah terkorban sejak Presiden Assad berusaha mematahkan revolusi rakyat itu.
"Revolusi telah di umumkan di Syria. Rakyat mahu menggulingkan rejim dan mangsa yang terkorban hanya boleh dibayar dengan kemerdekaan," kata tokoh kanan kumpulan pembangkang Damascus Declaration, Abdelrazzaq Eid kepada satu persidangan di bandar Antalya, Turki.
Perhimpunan itu adalah mesyuarat rasmi pertama aktivis dan tokoh pembangkang yang hidup dalam buangan sejak protes tercetus di negara ini kira-kira 10 minggu lalu. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: