Pages

Tuesday, April 26, 2011

Askar Jepun cari 12,000 mangsa bencana



Foto
TENTERA Jepun mencari mangsa bencana gempa dan tsunami di dalam terusan di Minami Soma, semalam.
Operasi kesan korban tsunami dikategorikan sebagai orang hilang, terbunuh


TOKYO: Hampir 25,000 askar Jepun menggunakan bot, helikopter dan pesawat mula melaksanakan gerakan besar-besaran mencari hampir 12,000 mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang dikategorikan sebagai orang hilang dan dikhuatiri terbunuh.Gerakan intensif ketenteraan terbaru untuk mencari mayat itu bermula semalam, kali ketiga dilakukan sejak bencana alam melanda pada 11 Mac lalu yang memusnahkan bangunan, pekan dan membunuh 26,000 penduduk di kawasan timur laut Jepun.
Pegawai berharap kumpulan yang turut disertai polis, pengawal pantai dan askar Amerika berjaya menghasilkan kemajuan dalam operasi dua hari itu.

“Lebih sebulan sejak gempa bumi dan tsunami besar melanda, namun ramai yang masih hilang. Kami mahu mencari mereka dan mengembalikan mereka kepada keluarga,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Norikazu Muratani.

Sejumlah 24,800 askar yang dibantu 90 helikopter serta pesawat dihantar ke tempat timbunan bangunan sementara 50 bot dan 100 penyelam tentera akan mencari di kawasan 20 kilometer dari pantai untuk mencari mereka yang dihanyutkan.

Dua robot disediakan oleh badan bukan berasaskan keuntungan Institut Sistem Penyelamat Antarabangsa turut menjalankan pencarian selama lima hari di kawasan perairan di tiga pekan yang dilanda tsunami sejak minggu lalu. 
“Robot itu menjumpai kereta, rumah dan banyak lagi bangunan dalam laut, tetapi belum menemui mayat,” kata pegawai institut itu, Mika Murata.

Selain itu, pegawai pertanian turut dihantar ke kawasan zon pengosongan di kawasan loji yang terjejas teruk bagi memeriksa ratusan ribu lembu, babi dan ayam yang ditinggalkan, dipercayai mati akibat kelaparan atau terbiar. 

Petani di kawasan berkenaan meninggalkan 3,000 lembu, 130,000 babi dan 680,000 ayam ketika bergegas meninggalkan kawasan yang dilanda krisis nuklear itu.

Disebabkan kekurangan masa menanam bangkai ternakan itu, pegawai veterinar hanya menyiram bangkai dengan pembunuh kuman bagi mengelakkan penyakit bawaan haiwan merebak. – AP 

No comments: