Pages

Tuesday, April 26, 2011

Kemboja dakwa kuil purba terkena bedilan Thailand


ASKAR Kemboja di hadapan kuil Ta Krebey di daerah Samrong, Oddar Meanchey, utara Kemboja dalam gambar video kelmarin. - REUTERS


PHENOM PENH 25 April - Kemboja menuduh Thailand merosakkan dua kuil purba dalam pertempuran selama tiga hari di sempadan kedua-dua negara itu yang mengakibatkan kematian 12 orang.
Tahap kerosakan yang didakwa berlaku di kuil Ta Moan dan Ta Krebey berusia hampir 1,000 tahun dan dibina ketika empayar Khmer masih tidak diketahui.
Cubaan mendapatkan kenyataan daripada pihak berkuasa Thai gagal.
Dalam pada itu, sempadan Thai-Kemboja, hari ini dilaporkan 'sunyi' selepas tiga hari pertempuran antara tentera kedua-dua negara.
Namun, harapan bagi mencari penyelesaian diplomatik terhadap insiden itu menjadi 'hambar' selepas pertemuan utusan khas ASEAN dengan kedua-dua negera bertelagah itu dibatalkan.
Pegawai kerajaan Thai dan Kemboja berkata, lawatan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa yang sepatutnya ke Thailand dan Kemboja untuk mengadakan pertemuan hari ini telah dibatalkan.
Natalegawa pernah mempengerusikan proses perjanjian damai Thai-Kemboja yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Februari lalu untuk menempatkan pemantau tentera dari Indonesia di sempadan Thai-Kemboja, namun ia dibantah oleh Thailand.
Jurucakap kerajaan Thai, Panitan Wattayagorn berkata, lawatan itu dibatalkan selepas Thailand dan Kemboja masih belum menyelesaikan urusan berhubung terma dan syarat untuk menempatkan pasukan pemantau dari Indonesia.
Kemboja mahu rundingan damai diadakan dengan penglibatan ASEAN sebagai 'orang tengah' dan menyatakan Thailand perlu menghormati perjanjian yang dibuat pada Februari lalu untuk mengerah pemerhati tentera dari Indonesia.
''Kami telah menyatakan dengan jelas bahawa ia perlu dilakukan. Tanpa pemerhati, kami akan saling menuduh siapa yang melancarkan serangan dahulu,'' kata jurucakap Kementerian Luar Kemboja, Koy Kuong. - Reuters
Pertempuran terbaru pada hujung minggu lalu melanggar perjanjian damai yang dipersetujui selepas 11 askar dan sejumlah orang awam cedera dalam pertempuran dari 4 hingga 7 Februari berdekatan kuil berusia 900 tahun, Preah Vihear, kawasan yang dituntut oleh kedua-dua negara itu.

No comments: