ASKAR Afghanistan bersenjata senapang mengawal penjara utama di Kandahar yang dilaporkan dibolosi Taliban. |
475 tahanan militan berjaya lolos dari penjara utama wilayah Kandahar
KANDAHAR: Lebih 475 tahanan Taliban di penjara utama di Kandahar melarikan diri melalui terowong bawah tanah sepanjang 320 meter (1,050 kaki) yang digali rakan mereka, semalam.
Kejadian itu menandakan kelemahan berterusan pentadbiran kerajaan di bahagian selatan Afghanistan, walaupun bilangan askar sudah ditambah.
Penyelia penjara Sarposa, Ghulam Dastagir Mayar berkata, seramai 475 tahanan itu meloloskan diri menerusi terowong digali antara penjara dan bahagian luar, sebelum lari ke Kandahar.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, berkata sekumpulan pejuang yang berada di luar penjara menggali terowong bawah tanah sepanjang 320 meter sejak lima bulan lalu dan berjaya melintasi pusat pemeriksaan kerajaan dan beberapa jalan utama tanpa dikesan.
“Terowong itu akhirnya sampai di penjara malam semalam dan tahanan dibawa keluar oleh tiga penghuni lain yang sudah dimaklumkan mengenai rancangan itu lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, lebih 500 tahanan dibebaskan dengan 100 daripadanya anggota kanan pergerakan Taliban.
Seorang daripada tahanan yang membantu pesalah lain melarikan diri dikatakan berjaya mendapatkan kunci pendua penjara itu lebih awal.
“Ada empat atau lima orang daripada mereka mengetahui kerja menggali terowong dari luar penjara,” kata Mohammad Abdullah, yang sudah berada di penjara Sarposa sejak dua tahun lalu selepas ditahan pihak berkuasa di daerah Zhari bersama sejumlah senjata.
Dia memberitahu, beberapa rakannya membantu menyediakan kunci dan apabila malam tiba mereka berjaya membuka pintu bilik penjara lain.
“Kami mengejutkan tahanan sehingga empat atau lima orang pada satu masa bagi membolehkan mereka meloloskan diri dengan senyap,” katanya menerusi telefon.
Seorang lagi jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi, berkata empat daripada tahanan yang berjaya melarikan diri itu adalah panglima Taliban peringkat wilayah.
Ada pihak menyatakan, tahanan Taliban berprofil tinggi berkemungkinan besar tidak akan ditahan di penjara Sarposa.
Tentera Amerika menahan pesalah yang dianggap memberi ancaman di sebuah kompleks di luar pangkalan udara di Bagram, timur Afghanistan, manakala tahanan penting Taliban ditempatkan di penjara Kabul yang dikawal ketat. – AP
No comments:
Post a Comment