Pages

Tuesday, April 26, 2011

Syria perhebat patah kebangkitan rakyat



BEIRUT - Pemerintah Syria semalam memperhebatkan kempen untuk mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lima minggu lalu.
Bagi tujuan tersebut, pasukan tentera yang dibantu sejumlah kereta kebal, penembak tepat dan anggota keselamatan bersenjatakan pisau dikerahkan ke bandar Daraa tempat protes itu bermula di selatan negara berkenaan.
Beberapa saksi dan aktivis berkata, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain ditangkap pihak berkuasa.
Operasi pihak berkuasa di bandar Daraa merupakan yang paling serius dalam usaha pemerintah mematahkan kebangkitan rakyat Syria.
Ia juga merupakan sebahagian strategi baru dengan melancarkan serangan berbentuk pencegahan terhadap para penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al Assad berbanding bertindak selepas tunjuk perasaan dan bantahan berlaku.
Lebih 300 orang telah terbunuh di seluruh negara itu sejak penentangan rakyat terhadap kepimpinan Bashar bermula. Namun, penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan hanya menguatkan tekad mereka untuk menumbangkan presiden tersebut.
"Kami perlu campur tangan antarabangsa. Kami memerlukan negara-negara luar untuk membantu kami," kata seorang saksi di Daraa yang menyatakan, dia melihat lima mayat selepas pihak berkuasa membedil sebuah kereta.
Operasi ketenteraan di Daraa yang didiami sekitar 300,000 orang dan terletak berhampiran sempadan Jordan, bertujuan mematahkan kebangkitan penentang di kubu kuat mereka pada Mac lalu. - AP

No comments: