Pages

Friday, April 8, 2011

Gempa baru gegar Jepun


pix_gal0
Bangunan Tokyo bergoyang, gegaran tidak jejas loji nuklear 


TOKYO: Satu lagi gempa bumi besar 7.4 skala Richter melanda timur laut Jepun lewat semalam dan amaran tsunami dikeluarkan membabitkan kawasan yang dilanda gegaran pada kekuatan 9 skala Richter, bulan lalu menjadi punca loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan bahan radioaktif.
Pihak berkuasa masih menunggu laporan kematian dan kecederaan akibat gegaran terbaru, lapor televisyen. Tetapi, banyak kawasan terputus bekalan elektrik kerana gegaran terbaru.
Tiada kerosakan dikesan akibat gempa terbaru ke atas loji nuklear Fukushima dan pekerjanya dapat dipindahkan ke tempat selamat. Bangunan sejauh Tokyo dilaporkan bergoyang selama satu minit.


Di Ichinoseki, bangunannya bergoyang hingga peralatan pejabat jatuh tetapi struktur bangunan masih baik. Gegaran bermula pada 11.32 malam waktu tempatan.


Gegaran terbaru adalah yang terkuat daripada 1,000 gempa susulan sejak tragedi kemanusiaan Jepun berlaku akibat gempa dan tsunami bulan lalu.


Pembaca berita televisyen meminta penduduk di kawasan terbabit segera ke tempat tinggi jauh dari pantai. Sejam selepas gempa terbaru, belum ada tsunami dilaporkan.
Agensi Kaji Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami setinggi dua meter akan melanda kawasan yang dilanda ombak besar itu selepas gempa melanda bulan lalu.


Pegawai di loji nuklear Fukushima berkata, mereka belum menemui sebarang masalah baru selepas gegaran terbaru.


Mereka berkata, gegaran itu berlaku 50 kilometer di bawah laut tidak jauh dari wilayah Miyagi.


Sementara itu, beberapa jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.


Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.


“Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah,” kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul.


Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.


Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.


“Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau,” kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.


Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.


Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.


“Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia,” kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif. – Reuters Berita Harian Online | Gempa baru gegar Jepun

No comments: