Pages

Friday, April 8, 2011

GCC perantara krisis Yemen



DOHA 7 April - Negara-negara Teluk yang menjadi perantara dalam usaha untuk menamatkan krisis politik di Yemen, berharap untuk mencapai perjanjian yang akan membawa peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani hari ini berkata, anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) 'berharap untuk mencapai perjanjian yang termasuk pengunduran Presiden Yemen'.
Menteri-Menteri Luar GCC pada Ahad lalu bersetuju untuk mula berhubung dengan kerajaan Yemen dan pembangkang 'dengan cadangan bagi menyelesaikan situasi semasa'.
Akhbar Qatar, Alarab melaporkan, cadangan GCC yang dikemukakan kepada pihak-pihak di Yemen menuntut Saleh meletakkan jawatan dan melepaskan kuasa kepada sebuah majlis kebangsaan sementara terdiri daripada para pemimpin kabilah dan politik.
Kedua-dua kem telah menerima jemputan untuk mengadakan rundingan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh tetapi tarikh rundingan tidak diumumkan.
Menurut pasukan perubatan dan saksi, kira-kira 125 orang terbunuh apabila pasukan keselamatan Yemen bertindak ke atas penunjuk perasaan.
Demonstrasi dilancarkan di seluruh negara pada akhir Januari lalu bagi tujuan menjatuhkan Saleh, yang memegang kuasa sejak 1978.
GCC dianggotai oleh Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). - AFP

No comments: